Banjir kilat di Kampung Melayu Subang, penduduk umpamakan air deras macam 'tsunami'

Banjir kilat di Kampung Melayu Subang, penduduk umpamakan air deras macam 'tsunami'

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penduduk sekitar Kampung Melayu Subang dikejutkan dengan kejadian banjir kilat berserta arus deras yang dilaporkan melanda beberapa kawasan susulan hujan lebat di sekitar Lembah Klang, hari ini.

​Berdasarkan beberapa perkongsian di media sosial, sebilangan besar penduduk kawasan itu melaporkan banjir kilat berlaku dengan pantas sehingga menjejaskan kawasan yang jarang dinaiki air.

​Pengguna Threads, @arey0uheretau berkata, kediamannya yang tidak pernah dimasuki air ketika banjir kilat sebelum ini turut ditenggelami air hari ini.

​”Selama duduk dekat Kampung Melayu Subang, tak pernah rumah masuk air. Kalau banjir pun setakat jalan besar depan itu sahaja. Hari ini air laju masuk macam tsunami. Tak terkejar dibuatnya. Reda dengan hukum alam,” katanya.

​@srhh pula berkongsi gambar dan video memaparkan kawasan sekitar Desa Subang Perantau yang turut dinaiki air berhampiran Jalan Ikhlas.

​Katanya, ada penduduk yang tidak sempat menyelamatkan kenderaan masing-masing kerana air banjir naik dengan pantas dalam masa 10 minit sahaja.

​Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Ashbar berkata, pihaknya sedang memantau lokasi terbabit ketika ini.

​Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong sedang membantu proses pemindahan mangsa, dan beliau akan memberikan butiran lanjut dalam masa terdekat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top