Banjir kilat resahkan penduduk Taman Intan Lima Kapar – Utusan Digital

Banjir kilat resahkan penduduk Taman Intan Lima Kapar – Utusan Digital

KLANG: Penduduk di Taman Intan Lima Kapar resah setiap kali hujan di kawasan rumah mereka selepas banjir kilat yang kerap berlaku di sana.

Berdasarkan kedudukan kawasan rendah, perumahan di sana terdedah kejadian banjir kilat yang kerap berulang tanpa mengira sama ada hujan lebat ataupun renyai kerana air dari tempat tinggi melimpah ke kawasan terbabit.

Malah Pengerusi MIC Cawangan Jalan Tap, V.Kalaiyarasan, turut mendedahkan masalah banjir kilat tersebut semakin teruk sejak sebulan lalu.

“Kita berharap pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengambil tindakan membesarkan longkang di kawasan perumahan di sini.

“Penduduk mengadu barang-barang mereka rosak sebab ditenggelami air. Saya berharap pihak MPK segera mencari jalan menyelesaikan masalah sebelum lebih banyak kerosakan berlaku akibat banjir kilat,” katanya kepada pemberita di sini.

Seorang penduduk, N.Ravi, 58, memberitahu, faktor lain yang menyebabkan banjir kilat adalah mendapan tanah yang memenuhi longkang di kawasan perumahan berkenaan.

Malah katanya, pekerja pembersihan hanya mengumpulkan sampah di tepi longkang dan tidak membuangnya terus ke tempat yang dikhususkan.

“Bila hujan lebat turun, sampah yang sama akan masuk ke dalam longkang hingga menyebabkan laluan air tersumbat,” jelasnya.

Dalam pada itu Setiausaha Kerja MIC Kapar, M. Thangavel berkata, beliau simpati dengan penduduk yang mengalami kerugian akibat masalah banjir kilat dan menggesa ahli majlis MPK perlu lebih proaktif menyelesaikan masalah banjir kilat tersebut.

“Penduduk di sini membayar cukai pintu untuk memastikan sampah dan longkang dibersihkan. Jika sampah tidak dibuang di tempat yang betul sudah pasti banjir kilat mudah berlaku,” tegasnya.

Scroll to Top