Banjir kilat: Satu PPS dibuka di Bandar Baharu

Banjir kilat: Satu PPS dibuka di Bandar Baharu

am@hmetro.com.my

Bandar Baharu: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Keda Sungai Tengas malam ini bagi menempatkan 12 keluarga dari Kampung Sungai Tengas yang terjejas akibat banjir kilat.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, PPS dibuka susulan limpahan Sungai Tengas selepas hujan lebat lebih dua jam.

Beliau berkata, banjir kilat membabitkan empat mukim iaitu Sungai Batu, Selama, Bagan Samak dan Serdang melibatkan lima kampung. Antara kawasan terjejas ialah Kampung Sungai Tengas (12 keluarga), Kampung Air Itam Dalam (dua keluarga) serta masing-masing satu keluarga di Kampung Cherok Meranti, Kampung Paya Salak dan Kampung Batu Hampar.

Menurutnya, kawasan Sungai Tengas masih berada pada tahap bahaya, manakala sungai utama lain dilaporkan mulai surut.

“Trend Sungai Air Itam juga menunjukkan paras air semakin menurun walaupun dua rumah masih dinaiki air,” katanya.

Operasi pemindahan mangsa ke PPS Keda Sungai Tengas masih diteruskan.

Sementara itu, laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan dua sungai di Kedah melepasi paras amaran iaitu Sungai Titi Kerbau di Kubur Panjang, Pendang dan Sungai Chepir di Ulu Jerai, Sik, manakala Sungai Ketil di Kampung Bongor, Baling berada pada paras waspada.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top