redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kampus Universiti Malaya (UM), di sini, turut dinaiki air selepas hujan lebat berterusan melanda ibu negara sejak awal pagi hari ini.
Menerusi video dikongsikan pengguna TikTok dikenali sebagai Abang Janggut, keadaan dalam kampus yang dinaiki air menyebabkan kenderaan bergerak perlahan selain individu berjalan dengan meredah banjir.
Manakala, satu lagi video perkongsian pengguna TikTok Azmier22 menunjukkan beberapa motosikal tersadai di tepi jalan akibat banjir di dalam kampus.
Sementara itu, seorang lelaki dipercayai anggota keselamatan menerusi satu video turut memberi peringatan kepada orang ramai khususnya pengguna jalan raya untuk berhati-hati ketika melalui kawasan berhampiran kampus dan menggunakan laluan alternatif.
“Kepada semua warga kampus, pengguna dan pelajar.
“Jangan masuk melalui pagar Kuala Lumpur ke dalam UM bersebelahan Masjid Ar-Rahman disebabkan banjir yang agak tinggi arasnya di hadapan Fakulti Undang-Undang dan juga di jambatan Lingkungan Budi. Terima kasih,” katanya
Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi netizen dengan rata-ratanya mendoakan semoga banjir reda dan keadaan kembali seperti sediakala.
“Allahuakbar, semoga dipermudahkan urusan banjir,” tulis pengguna TikTok dikenali Kamsiah.
“Ya Allah, Kau permudahkanlah urusan, selamatkanlah penuntut UM dan semua terbabit daripada bahaya,” tulis pengguna TikTok dikenali Syikin.
Sementara itu, UM dalam kenyatan media memaklumkan keadaan banjir sekitar kampus sudah surut, dan semua laluan dibuka semula.
UM juga mengesahkan bahawa tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian.
“Semua staf, penuntut dan pelawat dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga serta mengelakkan daripada terbabit dengan sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan diri dan harta benda terperangkap dalam banjir.
“Pihak universiti akan memantau situasi dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan kampus terpelihara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




