Banjir landa Ulu Bendul, habis bertan ikan kolam pancing terlepas

Banjir landa Ulu Bendul, habis bertan ikan kolam pancing terlepas

Kuala Pilah: Seorang pengusaha ikan baung dan keli di Ulu Bendul di sini, mengalami kerugian hampir RM120,000 selepas kolam ternakan ditenggelami air akibat banjir kilat yang berlaku lewat petang semalam.

Pengara Anak Manding, 47, berkata, dia dimaklumkan oleh pekerjanya jam 7 malam, selepas hujan lebat tanpa henti menyebabkan kolam ikan mereka dinaiki air.

Ketika kejadian, dia berada di rumah dan tidak dapat pergi ke kolamnya itu berikutan semua laluan ke Kuala Pilah dinaiki air.

“Saya ada empat kolam tetapi yang paling teruk ialah dua kolam ikan. Satu kolam ada lapan hingga sembilan tan ternakan ikan keli, semuanya dalam persediaan untuk dipasarkan kepada pengedar dan pembeli. Namun semuanya habis terlepas.

“Ada satu lagi kolam dipenuhi ikan baung. Saya masukkan 150,000 benih anak ikan empat bulan lalu dan tunggu untuk dituai dan dijual. Namun sayang semuanya sudah terlepas dihanyutkan banjir,” katanya semalam.

Anak jati Sarawak itu berkata, dia mengusahakan kolam itu selama lapan tahun dan ini kali ketiga ia dilanda banjir.

Beliau berkata, hasil ternakan itu adalah untuk pasaran di seluruh Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, Johor dan Kuala Lumpur.

Bagi Idris Abdul Rahman, 41, yang mengusahakan kolam pancing dan ternakan air masin Ulu Bendul, kejadian berlaku sangat cepat dan air naik begitu pantas serta menjejaskan kolam ternakan ikan kelinya.

“Apabila orang kampung bertanya ikan keli dari kolam yang terlepas ini, saya suruh mereka tangkap dan mengambilnya. Saya anggap ia sebagai sedekah.

“Kita tidak boleh buat apa-apa, ikan terlepas ke dalam longkang tepi jalan, jadi ramailah yang datang ambil,” katanya yang belum mengenal pasti jumlah kerugian.

Beliau berkata, kolam pancingnya yang mula beroperasi sejak 2018 dipenuhi dengan pelbagai spesies ikan air masin seperti jenahak, kerapu, bawal, siakap dan senangin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top