Banjir lumpur, syarikat binaan dikompaun

Banjir lumpur, syarikat binaan dikompaun

bhnews@bh.com.my

AYER KEROH: Kerja tanah yang dijalankan oleh sebuah syarikat pembinaan didapati menjadi punca banjir lumpur di kawasan Taman Sutera Wangi, Batu Berendam di sini, semalam.

Kerja tanah yang dikatakan bagi menanam buah-buahan bersebelahan taman perumahan terbabit, menyebabkan air berlumpur memasuki rumah penduduk ketika hujan lebat awal pagi semalam.

Susulan kejadian itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman, berkata pihaknya mengambil tindakan tegas terhadap pemilik syarikat berkenaan kerana menjalankan kerja tanpa kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Beliau berkata, pihaknya mengeluarkan kompaun RM25,000 ke atas syarikat terbabit mengikut Seksyen 9, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

“Selepas menerima aduan penduduk, kami bergegas ke lokasi dan mendapati kerja tanah dilakukan bersebelahan taman perumahan itu.

“Apabila diperiksa, kerja tanah terbabit tidak mendapat kelulusan MPHTJ dan kompaun dikeluarkan kerana melakukan aktiviti tanpa kelulusan atau kebenaran PBT,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Lima kediaman di Taman Sutera Wangi dimasuki air lumpur susulan hujan lebat awal pagi semalam.

Hujan lebat berterusan beberapa jam turut mengakibatkan beberapa kawasan di daerah Melaka Tengah dilanda banjir kilat.

Hujan berterusan lebih tiga jam itu menyebabkan beberapa laluan termasuk di Jalan Cheng dan Malim di sini, dinaiki air sedalam kira-kira setengah meter.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top