Banjir menyukarkan langkah membendung penularan COVID-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kota Bharu: Banjir sememangnya sudah sinonim dengan negeri-negeri Pantai Timur. Setiap hujung tahun, angin Monsun Timur Laut melanda negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang yang akan menyebabkan banjir terutamanya di kawasan-kawasan rendah. Taburan hujan yang lebat berbanding biasa serta angin kuat menyumbang kepada berlakunya banjir. Kes COVID-19 yang semakin meningkat di seluruh negara menyukarkan lagi persediaan menghadapi musim tengkujuh pada tahun ini.

Jabatan Meteorologi Kelantan menjangkakan berlakunya banjir di kawasan pantai di Kelantan berikut hujan lebat monsun tambahan pula jika berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar. Pengarah Jabatan Meteorologi Kelantan, Rabiah Al Adawiah Zakaria pada sidang media di Pejabat Angkatan Pertahanan Awam, berkata fenomena Perigee dan bulan baru menyebabkan air pasang lebih tinggi daripada biasa. Angin kencang dan laut bergelora turut diramalkan berlaku. Ramalan sama turut dijangka pada 14 November hingga 16 November lepas. Nelayan dan penduduk sekitar dinasihatkan untuk berwaspada dan tidak ke laut. Penduduk diharapnya sentiasa peka dengan informasi mengenai keadaan cuaca dari semasa ke semasa.

Rabiah berkata, musim tengkujuh di Kelantan juga diramalkan tidak sebesar banjir 2014 dan hanya akan menyebabkan banjir biasa. Hujan diramalkan pada paras purata bagi November 2020 sehingga Mac 2021, kecuali sedikit melebihi paras purata pada Disember 2020. Hujan dijangka lebih lebat pada Disember 2020. Fenomena La Nina lemah berlaku menyebabkan cuaca menjadi lembap selain terdapat empat hingga enam episod luruan monsun yang membawa hujan lebat berterusan. Dijangka jumlah hujan bulanan bagi Disember pula membabitkan 680 sehingga 790 mm disebabkan oleh hujan lebat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin menyuarakan kebimbingan terhadap kejadian banjir di Kelantan mampu mempengaruhi jumlah kes COVID-19. Jumlah kes COVID-19 dijangka akan meningkat sekiranya Kelantan dilanda banjir besar. Mangsa-mangsa banjir yang akan dipindah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dikhuatiri akan mewujudkan jangkitan COVID-19 dan mewujudkan kluster baru.

Menurut status terkini kes COVID-19, jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 61,861 kes. Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 11,307 kes. Kes positif COVID-19 pada 26 November 2020 ialah 1109 kes. Sabah dilaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 441 kes. Kedua tertinggi merupakan negeri Selangor iaitu sebanyak 175 kes dan diikuti Negeri Sembilan iaitu 167 kes. Terdapat pertambahan dua kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 350 kes. Kes di Kelantan bertambah sebanyak 5 kes menjadikan jumlah kes COVID-19 keseluruhan ialah 335 kes. Daerah Kota Bharu diistiharkan sebagai daerah zon merah.

Peningkatan mendadak kes COVID-19 ini merisaukan banyak pihak terutama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan. Dr Zaini berkata pihak JKNK bersama agensi-agensi terlibat yang ditugaskan di PPS diarahkan supaya sentiasa bersedia berhadapan dengan sebarang kemungkinan. Semua pihak dikehendaki sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan semasa operasi menyelamat mangsa-mangsa banjir. Prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan agar penularan COVID-19 di PPS dapat dielakkan.

Antara SOP yang telah ditetapkan ialah semua mangsa dan petugas dikehendaki menjalani pemeriksaan suhu badan. Mangsa dan petugas diwajibkan memakai topeng muka. Semasa proses memindah mangsa-mangsa banjir, mereka dikehendaki duduk jarak antara satu sama lain dan tidak boleh terlalu ramai. Semua PPS mesti disinfeksi secara berkala.

Setakat ini, menurut portal rasmi eBanjir Kelantan, jumlah mangsa banjir ialah 27 bilangan keluarga dan 88 bilangan mangsa iaitu di daerah Machang. Jajahan lain masih tidak terjejas. Namun demikian, dinasihatkan semua pihak bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan. Semua pihak hendaklah mematuhi SOP yang telah ditetapkan dalam memerangi wabak COVID-19.

Oleh Ain Syahirah Zamzuri
Special Correspondent
Malay News