Banjir Nepal: Kaunselor fasih Tamil diperlukan bantu keluarga rakyat Malaysia hilang

razis@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ahli psikologi atau kaunselor yang fasih berbahasa Tamil diminta tampil membantu keluarga rakyat Malaysia yang masih hilang dalam banjir dahsyat di sempadan Nepal-Tibet.

Wakil Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH), Dr R Manivannan berkata, khidmat kaunseling itu penting terutama bagi membantu ibu bapa mangsa yang sudah berusia dan lebih selesa meluahkan perasaan dalam bahasa Tamil.

“Kita berharap ada ahli psikologi yang fasih berbahasa Tamil, sama ada daripada sektor kerajaan atau swasta, tampil membantu keluarga ini dengan secepat mungkin.

“Mungkin seorang atau dua ahli psikologi boleh tampil dan berhubung dengan saya, namun kelayakan mereka perlu diperiksa kerana perkara ini sangat sensitif,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Lebih 20 ahli keluarga rakyat Malaysia yang masih hilang turut hadir pada sidang media berkenaan.

Beliau berkata, Wisma Putra dan Mercy Malaysia turut menawarkan khidmat kaunseling, namun ahli psikologi terbabit lebih mahir berbahasa Melayu dan Inggeris serta sedang berusaha mendapatkan penterjemah.

“Golongan berusia mungkin boleh berbahasa Melayu atau Inggeris, tetapi belum tentu memahami sepenuhnya perkataan yang digunakan kaunselor.

“Ahli psikologi perlu menyentuh hati dan kehadiran penterjemah sebagai orang ketiga mungkin menyebabkan mereka kurang selesa,” katanya.

Setakat ini, beliau berkata, sebuah keluarga sudah memohon bantuan berkenaan kerana bimbang keadaan ibu bapa mereka yang berusia lingkungan 70-an hingga 80-an.

“Pada mulanya, ibu bapa mereka tidak mengetahui perkara yang berlaku, tetapi selepas televisyen melaporkan ada rakyat Malaysia terbabit, mereka mula menunjukkan kebimbangan dan rasa takut,” katanya.

Manivannan berkata, khidmat psikologi dan kaunseling sememangnya baik, namun waris tidak boleh dipaksa kerana setiap individu mempunyai cara berbeza untuk berdepan trauma.

“Ada yang memilih untuk mendiamkan diri, manakala ada pula yang mahu terus berusaha melakukan sesuatu. Jadi, nasihat saya ahli keluarga perlu memerhatikan antara satu sama lain dan mengenal pasti siapa yang memerlukan bantuan,”katanya.

Rakyat Malaysia yang dilaporkan tidak dapat dihubungi kekal 36 orang di China dan 55 di Nepal, susulan banjir kilat dahsyat serta tanah runtuh di Daerah Rasuwa, Nepal pada 26 Ogos lalu.

Agensi Anadolu melaporkan angka korban akibat bencana itu meningkat kepada kepada 1,220 orang manakala sebanyak 4,762 orang termasuk 844 warga asing masih hilang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top