Banjir Nepal: Lumpur tebal, mangsa terperangkap dalam terowong sukarkan misi menyelamat

KATHMANDU – Tentera Nepal mempergiat operasi mencari dan menyelamat susulan banjir kilat dahsyat di kawasan Himalaya, namun berdepan cabaran termasuk lumpur tebal dan mangsa terperangkap di dalam terowong gunung, lapor agensi berita Jerman, dpa.

Lapisan lumpur menyukarkan helikopter untuk mendarat dan berlepas di kawasan terjejas termasuk Temure, Syabrubesi dan Mailung, kata jurucakap tentera Raja Ram Basnet pada Jumaat di Battar Bazar, wilayah Bagmati yang bersempadan dengan Tibet.

Sebanyak 14 helikopter penyelamat sedang beroperasi di wilayah itu dan usaha menyelamat telah dipertingkatkan, kata Basnet.

Pihak berkuasa pengurusan bencana Nepal berkata, lebih 4,400 orang telah diselamatkan menjelang petang Jumaat.

Tentera menggunakan helikopter untuk memindahkan penduduk yang terputus hubungan dan membawa mereka ke kem latihan tentera di Battar Bazar.

Tentera memikul tanggungjawab utama bagi operasi mencari dan menyelamat semasa bencana di Nepal.

Menurut Basnet, terowong di kawasan pergunungan itu adalah satu lagi cabaran memandangkan mangsa dilaporkan terperangkap di dalamnya.

Hanya empat orang berjaya diselamatkan daripada terowong tersebut menjelang pagi Jumaat, katanya, sambil menambah ramai lagi dipercayai masih terperangkap.

Rakaman video menunjukkan anggota penyelamat mengeluarkan dua pekerja diselaputi lumpur dalam keadaan masih hidup dari sebuah terowong di loji jana kuasa hidroelektrik.

Kedua-dua lelaki itu dibawa ke helikopter dengan cara digendong oleh anggota penyelamat.

Sukar untuk menentukan berapa lama operasi menyelamat akan berterusan, kata Basnet.

Pihak berkuasa Nepal pada Jumaat berkata 1,924 orang dilaporkan hilang di kawasan pelancongan pergunungan popular itu termasuk 517 warga asing.

Di sebelah sempadan China, iaitu di Tibet, seramai 558 orang dilaporkan hilang. – Bernama-dpa

Scroll to Top