Banjir Nepal: 'Perasaan saya bercampur-baur untuk terima sebarang keputusan'

Banjir Nepal: 'Perasaan saya bercampur-baur untuk terima sebarang keputusan'

yusri.muzamir@bh.com.my

Kuala Lumpur: Meskipun perit, beberapa waris rakyat Malaysia bersedia menerima sebarang keputusan berkenaan cadangan Kerajaan Nepal memendekkan tempoh pengisytiharan meninggal dunia bagi mangsa gagal ditemukan.

Sivakumar Kalimuthu, 63, mengakui terpaksa menerima keputusan untuk memendekkan tempoh pengisytiharan itu kepada 45 hari berbanding 12 tahun, seperti dicadangkan Kerajaan Nepal.

Suami kepada Kalai Mathe Karuppaiah, 57, itu juga menjelaskan tiada pemakluman rasmi dikemukakan Kerajaan Malaysia berhubung cadangan berkenaan, setakat ini.

“Kita terpaksa terima kerana kejadian sudah berlaku dan tiada rangkaian hubungan secara terus dengan mereka (untuk menyuarakan sebarang pandangan atau maklum balas kepada Kerajaan Nepal).

“Kita sebelum ini, sudah dimaklumkan sijil kematian biasanya akan dikeluarkan selepas tujuh tahun jika mangsa masih gagal ditemukan, tetapi dalam kes ini, tempoh berkenaan dipendekkan kepada tiga tahun.

“Ketetapan (Kerajaan Nepal berhubung cadangan berkenaan) mungkin akan memudahkan urusan kami untuk menukarkan status hak milik aset mangsa kepada ahli keluarga yang lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Berkongsi pandangan hampir sama, Hani Othman yang juga isteri kepada Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa mengakui sukar menerima keputusan berkenaan memandangkan tiada alternatif diberikan kepada waris berhubung cadangan Kerajaan Nepal itu.

“Perasaan saya bercampur-baur untuk terima sebarang keputusan berhubung cadangan Kerajaan Nepal ini.

“Namun, kita sebagai waris terpaksa terima jika begitu yang diputuskan Kerajaan Nepal.

“Malah, saya hanya maklum mengenai perkara ini melalui media sosial dan belum pasti apa keputusan tepat mengenai cadangan berkenaan,” kata.

Sementara itu, usaha mendapatkan maklum balas Kerajaan Malaysia berhubung cadangan berkenaan masih belum berjaya, selain Kementerian Luar dikatakan sedang membuat semakan terhadap syor terbabit.

Semalam, Nepal dilapor mencadangkan tempoh sedia ada yang menetapkan mangsa hanya boleh diisytiharkan meninggal dunia selepas dilaporkan hilang selama 12 tahun, dipendekkan kepada 45 hari.

Cadangan Kathmandu itu dibuat selepas mengambil kira banjir dahsyat melanda Nepal yang mengorbankan banyak nyawa daripada pelbagai negara.

Nepal dilanda bencana yang disifatkan sebagai Tsunami Himalaya pada 26 Ogos lalu, susulan runtuhan batu dan ais salji, mengorbankan lebih 1,400 orang, manakala lebih 6,000 lagi masih gagal dikesan.

Operasi mencari dan menyelamat serta pemulihan mangsa masih dijalankan di beberapa kawasan terjejas banjir susulan kemusnahan meluas, menyebabkan lebih 70,000 penduduk terjejas secara langsung dan hilang tempat tinggal.

Dalam kejadian banjir itu, penempatan di kawasan cerun tinggi berhampiran sempadan Tibet terjejas teruk akibat banjir deras yang kuat susulan limpahan glasier secara mendadak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top