Banjir Nepal, Tibet: Angka korban cecah 750, lebih 3,000 masih hilang

ISTANBUL – Angka korban akibat banjir kilat dan tanah runtuh di Nepal serta wilayah Tibet di China meningkat kepada 750 orang, manakala lebih 3,000 lagi masih hilang, lapor Anadolu Ajansi memetik angka terkini pihak berkuasa dan media tempatan pada Ahad.

Di Nepal, seramai 2,498 orang masih hilang, termasuk ratusan warga asing, manakala pihak berkuasa China melaporkan 16 kematian dan 546 orang masih hilang di Tibet.

Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan bagi mengesan mereka yang hilang di Nepal, termasuk 933 pekerja projek hidroelektrik, 589 warga asing, 127 rakyat Nepal yang mengiringi pelancong asing serta penduduk dari beberapa daerah terjejas, menurut sumber tempatan.

Hampir 20,000 anggota keselamatan telah menyelamatkan 8,186 orang, manakala operasi menggunakan helikopter berjaya memindahkan 279 pekerja hidroelektrik dan 227 warga asing ke tempat selamat.

Operasi bantuan turut diteruskan dengan penghantaran makanan dan bekalan keperluan asas, pengerahan pasukan perubatan serta pengagihan bantuan tunai kerajaan, menurut Nepal News.

Bencana itu melanda kawasan sempadan China-Nepal pada Rabu selepas runtuhan glasier secara tiba-tiba mencetuskan aliran deras air dan puing melalui lembah Himalaya, memusnahkan perkampungan serta merosakkan infrastruktur utama.

Skala kemusnahan yang besar menyebabkan ramai keluarga terus mencari ahli keluarga mereka yang masih hilang.

Pihak berkuasa kini berusaha menyimpan bukti pengenalan serta menyediakan ruang untuk menempatkan mayat berikutan rumah mayat hospital yang semakin penuh, manakala jasad yang ditemukan mula mengalami pereputan.

Operasi mencari dan menyelamat turut berdepan kesukaran akibat bentuk muka bumi yang mencabar, kawasan pergunungan curam dan gaung sempit.

Nepal memohon bantuan khusus bagi operasi menyelamat di terowong, teknologi mengesan mangsa terselamat, analisis forensik dan DNA serta peralatan untuk mengawet mayat yang ditemukan.

Pasukan tinjauan misi menyelamat dalam terowong seramai 11 anggota dari India telah tiba bagi membantu operasi itu.

Pihak berkuasa turut memantau rapi sebuah tasik yang baru terbentuk di Himalaya selepas timbul kebimbangan ia boleh mencetuskan satu lagi banjir.

Pegawai China berkata tasik itu menyusut dengan ketara dan kini “hampir kering sepenuhnya” selepas airnya mengalir keluar secara semula jadi, sekali gus mengurangkan risiko berlaku limpahan baharu dalam masa terdekat. – Bernama

Scroll to Top