Hyderabad: Polis Nepal dan petugas agensi bencana meneruskan usaha mengesan ratusan warga asing termasuk lebih 50 rakyat Malaysia susulan bencana banjir pada Rabu di kawasan sempadan Nepal-China.
Lembaga Pelancongan Nepal memaklumkan rakyat India merupakan kumpulan pengembara asing paling ramai dilaporkan hilang iaitu 178 orang, diikuti 65 rakyat Amerika Syarikat, 53 rakyat Ukraine, 35 rakyat Australia, 33 rakyat Britain, 25 rakyat Kanada dan sembilan rakyat Singapura, manakala 127 rakyat Nepal masih belum diketahui nasib mereka setakat 12 tengah hari waktu tempatan.
Kenyataan itu turut memaklumkan 51 rakyat Malaysia masih hilang, namun Kementerian Luar Malaysia dalam kenyataannya berkata 55 rakyat Malaysia kini tidak dapat dihubungi berdasarkan maklumat terkini yang diterima daripada ahli keluarga, agensi pelancongan dan sumber lain yang berkaitan.
Pasukan mencari dan menyelamat digerakkan ke kawasan paling terjejas akibat banjir di Sungai Bhote Koshi dan Trishuli.
Mereka menjalankan pencarian di sepanjang tebing sungai dan kawasan hilir di daerah Rasuwa, Nuwakot, Dhading dan Gorkha.
Lembaga Pelancongan Nepal berkata polis dan pihak berkuasa pelancongan sedang berusaha mengesahkan keberadaan serta status keselamatan pelancong dan pengembara yang berada atau melalui kawasan terjejas, dengan usaha turut tertumpu kepada proses pemindahan.
Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur dalam satu kenyataan pada Khamis berkata 175 mayat ditemukan setakat ini.
Jumlah mangsa yang hilang di Nepal meningkat kepada 826, manakala angka korban sekurang-kurangnya 165 orang, menurut laporan di laman sesawang akhbar Kathmandu Post pada petang Khamis.
Kematian dan kemusnahan besar turut dilaporkan di sebelah Tibet, China.
Pasukan kecemasan China sedang berusaha menyelamatkan 558 orang di wilayah Xizang, menurut laporan media negara itu.
Pelabuhan sempadan Gyirong yang mengendalikan perdagangan dan pergerakan penting antara China dan Nepal turut mengalami kemusnahan teruk apabila arus deras air serta puing membadai bangunan dan kenderaan.
Kajian Geologi Amerika Syarikat berkata pada Rabu bahawa runtuhan glasier mencetuskan bencana berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd

