am@hmetro.com.my
Rembau: Seorang lelaki yang juga pesara Kementerian Kesihatan (KKM) berusia 74 tahun meninggal dunia selepas dikatakan terperangkap di dalam Perodua Myvi yang dihanyutkan banjir di Kampung Kundur Hulu, di sini, jam 9 malam ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan, jam 9.20 malam, berkaitan mangsa yang terperangkap di dalam kereta akibat banjir.
“Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau dengan bantuan BBP Teluk Kemang ke lokasi kejadian di parit bersebelahan Sungai Kampung Kundur Hulu.
“Komander Operasi Azizul Hassan melaporkan dari lokasi banjir di Kampung Kundur Tengah sebelum mendapat maklumat daripada waris mangsa, memaklumkan bapanya terperangkap di dalam Perodua Myvi.
“Mangsa yang juga pesara KKM dikatakan dibawa arus ketika melalui jalan raya berkenaan,” katanya dihubungi.
Jelas beliau, pasukan operasi (PKO) dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Teluk Kemang kemudiannya mengeluarkan mangsa.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh kakitangan perubatan sebelum mayat diserah kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, katanya, banjir kilat turut melanda dua rumah dan sebuah kedai makan di kampung sama.
“Seorang lelaki dewasa terperangkap di kedai makan namun berjaya diselamatkan.
“Kami turut melakukan pemantauan selain menasihati penduduk supaya berpindah jika paras air meningkat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




