Banjir: Semua kawasan rendah jajahan Pasir Mas dinaiki air

Banjir: Semua kawasan rendah jajahan Pasir Mas dinaiki air

am@hmetro.com.my

Pasir Mas: Kesemua kawasan rendah di jajahan Pasir Mas dinaiki air bermula malam tadi, selepas menerima taburan hujan yang tinggi sejak beberapa hari lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Mohd Azmi Hussin berkata, antara penempatan terjejas banjir ialah Kampung Bakong, Kampung Bunut Susu, Taman Desa Wira Jaya di Lubok Jong, Kampung Meranti, Kampung Jejawi dan Kampung Serongga.

Katanya, pihaknya memulakan misi menyelamat dan memindahkan mangsa sejak 8 malam tadi, dan dijangka lebih banyak proses pemindahan dijalankan pada hari ini.

“Selain itu, beberapa jalan kampung sudah dinaiki air separas 0.5 sehingga lebih satu meter seperti di jalan Kampung Serongga, Kampung Tok Sangkut dan Kampung Kubang Pak Hitam, di sini, yang mana hanya kenderaan berat atau perahu boleh digunakan sebagai pengangkutan.

“Kami bersiap siaga selama 24 jam untuk membantu mangsa banjir selain merujuk Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk pemindahan mangsa ke pusat pemindahan sementara.

“Jika hujan masih berterusan, jalan utama dari Pasir Mas menghala Rantau Panjang juga dijangka dinaiki air pada tengah hari ini, justeru pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mendapatkan dahulu maklumat dari semasa ke semasa,” katanya.

Mohd Azmi berkata, penduduk kampung turut dinasihatkan untuk segera berpindah ke tempat selamat terutama di penempatan yang sukar diakses masuk kerana ada beberapa kawasan yang arus airnya agak deras dan menyukarkan bot penyelamat untuk melaluinya.

“Semoga semua penduduk tidak mudah panik sebaliknya mengambil langkah awal berpindah jika kawasan rumah dilihat tidak selamat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top