am@hmetro.com.my
Bachok: Tilam yang menjadi alas tidur tiba-tiba basah menyedarkan tiga beranak dari Kampung Budi, di sini yang rumah mereka dimasuki air dan bergegas menyelamatkan diri.
Mazlina Mohamad, 45, berkata, dia sedar rumahnya dilanda banjir pada 4 pagi hari ini selepas hujan berterusan sejak semalam.
“Tidur pun sekadar lelapkan mata saja dan saya tersedar apabila terasa tilam basah dan sentuh lantai, rupanya air sudah penuhi bilik dan ruang dalam rumah.
“Saya segera mengejutkan suami dan anak. Kami sambung mengemas barangan sebelum air naik makin naik,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor, di sini.
Mazlina yang menghidap gout juga terpaksa menanggung kekejangan kaki kanan dan bengkak disebabkan ‘berendam’ lama dalam banjir.
“Saya juga ada sakit jantung serta semput. Nasib baik semua ubat sempat bawa sebelum tinggalkan rumah tadi,” katanya.
Seorang lagi mangsa banjir, Adnani Anneur, 23, berkata, sejak semalam dia dan keluarga sudah membuat persiapan jika perlu ke PPS memandangkan hujan tidak berhenti.
Katanya, apabila air sungai semakin naik menjelang 7 pagi, mereka sudah bersiap sedia, apatah lagi situasi itu biasa dilalui penduduk kampung ketika Monsun Timur Laut.
“Setiap hujung tahun, kami memang menjadi penghuni PPS dan biasanya dua kali akan berpindah dalam tempoh banjir berlaku,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd