Bank beri jaminan perkhidmatan asas tidak terjejas dengan cukai perkhidmatan baharu

Bank beri jaminan perkhidmatan asas tidak terjejas dengan cukai perkhidmatan baharu

Kuala Lumpur: Kalangan bank ahli persatuan perbankan Malaysia memberi jaminan kepada orang ramai bahawa peluasan skop cukai perkhidmatan yang akan datang berkuat kuasa 1 Julai 2025 tidak akan menjejaskan perkhidmatan perbankan asas yang biasa digunakan orang ramai.

Perkara ini berikutan pewartaan perundangan cukai perkhidmatan baru-baru ini mengenai peluasan skop cukai perkhidmatan.

Dalam kenyataan bersama hari ini, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) serta Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (MIBA) berkata perkhidmatan perbankan asas yang melibatkan fi atau komisen seperti akaun semasa (akaun cek), akaun simpanan, atau akaun serupa termasuk e-dompet, tidak tertakluk kepada cukai perkhidmatan.

“Perkhidmatan ini termasuk fi yang dikenakan ke atas deposit tunai, pengeluaran, pembayaran atau pemindahan dana tempatan; pengeluaran kad debit dan bayaran tahunan selepas itu; serta urus niaga asas yang dilakukan di cawangan bank atau mesin teler automatik.

“Ini dianggap sebagai perkhidmatan perbankan penting dan tidak termasuk dalam skop cukai perkhidmatan.

“Selain itu, fi tahunan ke atas kad kredit atau kad caj akan turut dikecualikan daripada cukai perkhidmatan. Faedah atau keuntungan serta penalti atau caj bersifat punitif lain juga tidak tertakluk kepada cukai perkhidmatan,” menurut kenyataan itu.

Persatuan bank itu berkata pengecualian berkenaan bertujuan memastikan aktiviti perbankan harian bagi pengguna individu kekal tidak terjejas dengan peluasan cukai perkhidmatan.

Ketiga-tiga pihak juga berkata peluasan skop cukai perkhidmatan bagi perkhidmatan kewangan secara umumnya akan terpakai untuk perkhidmatan pengurusan dana, perkhidmatan berkaitan perbankan pelaburan dan pedagang, serta perkhidmatan berkaitan pembiayaan dagangan.

“Di bawah fasa 1 peluasan skop cukai perkhidmatan yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2025, cukai perkhidmatan akan dikenakan hanya kepada perkhidmatan perbankan perbendaharaan, korporat dan pelaburan terpilih seperti yang dinyatakan dalam Lampiran A panduan cukai perkhidmatan mengenai perkhidmatan kewangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top