KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam), melalui jalinan kerjasama Amanah Warisan Berhad (AWARIS), menjadi institusi perbankan pertama di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan penulisan wasiat secara terus menerusi aplikasi perbankan mudah alih.
Inisiatif terbaharu itu menandakan satu langkah penting Bank Islam untuk memodenkan perkhidmatan pengurusan kekayaannya dengan mengintegrasikan perancangan legasi ke dalam platform digital.
Pengarah Pengurusan Kekayaan Bank Islam, Datin Zaharah Abdul Muttalib berkata, kemudahan baharu itu disepadukan secara langsung ke dalam aplikasi BIMB Mobile dengan mematuhi piawaian ketat keselamatan data serta tadbir urus Syariah Bank Islam.
Menurutnya, pelancaran itu mencerminkan komitmen berterusan Bank Islam dalam meningkatkan akses dan kemudahan pelanggan untuk menikmati penyelesaian kewangan patuh Syariah.
“Perkhidmatan Penulisan Wasiat AWARIS ini merupakan komponen penting untuk memperluas penawaran pengurusan kekayaan Islam secara menyeluruh serta membolehkan pelanggan mengurus kewangan dan perancangan legasi dengan mudah walau di mana sahaja mereka berada.
“Kemudahan ini turut menyasarkan untuk memupuk penggunaan digital dalam aspek perancangan harta dan memperkukuh kedudukan Bank Islam sebagai peneraju penyelesaian pengurusan kekayaan digital patuh Syariah di pasaran tempatan,” katanya semasa Majlis Pelancaran Perkhidmatan Penulisan Wasiat Patuh Syariah di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan AWARIS, Prof. Datuk Ahmad Saruji Abdul Aziz berkata, integrasi kepakaran penulisan wasiat AWARIS ke dalam platform BIMB Mobile itu adalah langkah transformasi besar untuk landskap perancangan harta digital di Malaysia.
“Kerjasama strategik tersebut didorong oleh visi bersama antara kedua-dua pihak untuk memastikan kelancaran perancangan legasi patuh Syariah yang lebih mudah diakses dan intuitif.
“Dengan membawa perkhidmatan penting ini ke dalam persekitaran digital, kami berharap dapat memupuk budaya perancangan harta yang lebih proaktif menerusi pengalaman digital yang lancar,” katanya.
Beliau berkata, perkhidmatan Penulisan Wasiat AWARIS sedia diakses oleh kesemua pelanggan menerusi bahagian Service Hub di dalam aplikasi BIMB Mobile.
“Platform tersebut turut direka khusus untuk memudahkan urusan penyediaan wasiat dengan tahap keselamatan yang terjamin.
“Bank Islam kini menawarkan harga promosi eksklusif iaitu sebanyak RM300 bagi Pelan Platinum menerusi BIMB Mobile.
“250 pelanggan pertama yang melengkapkan permohonan mereka akan turut membawa pulang baucar Touch ‘n Go eWallet yang bernilai RM40,” katanya. – UTUSAN




