
Bank Islam berjaya menerbitkan Sukuk Kanan Murabahah bernilai RM1 bilion.
KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) berjaya menerbitkan tranche ke-10 Sukuk Murabahah bernilai RM1 bilion di bawah Program Sukuk Murabahah berjumlah RM10 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata, terbitan itu memperkukuh pengurusan kecairan, menyokong strategi pembiayaan jangka panjang serta mempelbagaikan sumber pembiayaan bank.
“Hasil pengeluaran ini akan digunakan bagi tujuan membiayai aktiviti perbankan bank termasuk keperluan modal kerja dan tujuan korporat am patuh syariah yang lain.
“Kejayaan terbitan ini mencerminkan keyakinan berterusan pelabur terhadap kekuatan kredit dan asas kukuh Bank Islam,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu beliau menjelaskan, sukuk tersebut mempunyai tempoh matang tujuh dan 10 tahun dengan kadar keuntungan tetap masing-masing 4.01 peratus dan 4.10 peratus setahun.
Instrumen itu menurutnya, turut menerima penarafan AA3 dengan prospek stabil daripada RAM Ratings Services Berhad.
“Kejayaan ini hasil pendekatan berdisiplin dalam pengurusan lembaran imbangan serta komitmen untuk memastikan pembiayaan yang mampan bagi menyokong pertumbuhan bank.
“Ia juga bagi memenuhi keperluan pihak berkepentingan yang sentiasa berkembang, selaras dengan prinsip syariah,” ujarnya.



