Bank Muamalat sasar 1,200 pendaftaran kad kredit patuh syariah PKS

Bank Muamalat sasar 1,200 pendaftaran kad kredit patuh syariah PKS

hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) menyasarkan 1,200 pendaftaran Kad Kredit-i Muamalat CGC Visa Business Platinum dalam tempoh setahun pelancarannya.

Kad kredit patuh syariah itu disasarkan kepada pelanggan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) bagi memperkukuh akses kepada kemudahan kewangan bagi golongan itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Datuk Khairul Kamarudin berkata, produk baharu itu menandakan komitmen Bank Muamalat dalam menawarkan penyelesaian kewangan patuh syariah yang lebih inovatif kepada segmen perniagaan yang menjadi enjin pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata, kad kredit itu turut menjadi penyelesaian modal kerja yang lebih fleksibel, merangkumi pengecualian yuran tahunan untuk tahun pertama, pulangan tunai sehingga RM300 sebulan, tempoh bebas keuntungan sehingga 59 hari dan pelan pembayaran mudah tanpa keuntungan.

“Melalui kerjasama dengan Visa, pemegang kad turut menikmati rebat eksklusif daripada rangkaian peniaga Visa bagi membantu meningkatkan produktiviti dan kecekapan perniagaan.

“PKS adalah segmen strategik yang menjadi tumpuan bank memandangkan sumbangan besar kumpulan itu terhadap ekonomi negara, termasuk pembentukan keluaran dalam negara kasar (KDNK), peluang pekerjaan dan perkembangan ekosistem perniagaan domestik,” katanya pada majlis pelancaran Kad Kredit-i Muamalat CGC Visa Business Platinum di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Dilantik Guarantee Corporation Malaysian Bhd (CGC), Mohamed Nazri Omar.

Antara kriteria bagi memohon kad berkenaan ialah pemohon adalah pemilik mikro PKS atau PKS serta mempunyai perniagaan sekurang-kurangnya dua tahun.

Khairul berkata, Bank Muamalat melihat PKS bukan sahaja sebagai penyumbang penting kepada ekonomi tetapi komuniti yang perlu disokong daripada segi pembiayaan, pengurusan kewangan dan pertumbuhan kapasiti bagi memastikan daya tahan dan kelangsungan perniagaan mereka.

“Sehingga kini, Bank Muamalat mempunyai sekitar 4,000 pelanggan dalam segmen PKS dan bercadang meningkatkan portfolio itu sebanyak 20 peratus melalui pelbagai inisiatif, termasuk pengenalan produk kewangan baharu seperti Kad Kredit-i Business Platinum serta penyelesaian pembiayaan lain yang ditawarkan.

“Kami juga menekankan komitmen untuk terus menyokong pembangunan sektor PKS melalui produk patuh syariah dan kerjasama strategik bersama rakan kongsi termasuk CGC,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top