Bank Muamalat tawar moratorium enam bulan untuk mangsa banjir

Bank Muamalat tawar moratorium enam bulan untuk mangsa banjir

Kuala Lumpur: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) menawarkan bantuan khas banjir yang merangkumi moratorium untuk semua pembiayaan individu dan perniagaan sehingga enam bulan.

Ia turut meliputi penggantian kad debit dan kad kredit tanpa sebarang bayaran kepada pelanggan yang terjejas ekoran situasi banjir buruk yang melanda beberapa kawasan di negara ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, pihaknya amat prihatin terhadap kesulitan yang dihadapi pelanggan termasuk individu serta perniagaan dan berharap bantuan khas banjir ini dapat memberi kelegaan kepada mereka yang terbabit.

“Sebagai sebuah institusi perbankan Islam penuh yang sentiasa komited dalam mencipta ‘Kehidupan Lebih Baik, Bersama’ pelanggan, kami bertanggungjawab memainkan peranan penting dalam menyokong dan membantu komuniti menempuhi waktu getir ini.

“Pelanggan yang menghadapi kesulitan kewangan berikutan bencana ini boleh memohon bantuan khas ini,” katanya.

Pelanggan boleh memuat turun borang permohonan “Service Request Form” (SRF) yang tersedia di laman sesawang Bank Muamalat di www.muamalat.com.my dan menghantar dokumen sokongan yang berkaitan menerusi emel bantuanbanjir@muamalat.com.my.

Menurutnya, langkah proaktif akan diambil bagi memastikan proses dokumentasi dan kelulusan permohonan dipermudahkan.

Bagi pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat nasihat, boleh mengunjungi cawangan Bank Muamalat terdekat atau menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 03-2600 5500.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top