Bank Rakyat bawa usahawan tempatan ke Makkah Halal Forum 2026

Bank Rakyat bawa usahawan tempatan ke Makkah Halal Forum 2026

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Bank Rakyat mengorak langkah strategik memperkasa usahawan tempatan dengan membawa lima syarikat terpilih menyertai Makkah Halal Forum 2026 bagi membuka laluan baharu ke pasaran halal bernilai tinggi di Timur Tengah.

Penyertaan itu selari dengan aspirasi Hebatkan Perniagaan Malaysia yang digerakkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Bank Rakyat bertindak sebagai pemudah cara strategik kepada perusahaan tempatan untuk menembusi pasaran global.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, inisiatif itu membolehkan syarikat terbabit meneroka peluang dagangan, menyertai sesi perniagaan ke perniagaan (B2B) bersama pemain industri antarabangsa serta membina jaringan strategik di Arab Saudi dan rantau sekitarnya.

“Penyertaan ini bukan sekadar pendedahan pasaran, malah mempercepatkan penembusan produk Malaysia ke peringkat antarabangsa.

“Kami menjangkakan potensi jualan eksport hampir RM2 bilion menerusi inisiatif ini,” katanya dalam kenyataan.

Lima syarikat tempatan yang juga pelanggan Bank Rakyat itu termasuk Ayamas Integrated Poultry Industry Sdn Bhd, Jaman Tory Food Industries, Agro 19 Berhad, Ramly Food Processing Sdn Bhd dan A&A Empire Sdn Bhd (Bokitta).

Sementara itu, pengendali jenama Ayamas, QSR Trading Sdn Bhd berkata, forum itu dimanfaatkan untuk mengetengahkan rangkaian produk termasuk Ayamas, Ayamas Kitchen, Life, Kewpie, Fatboi dan Lactima, selain perancangan pelancaran produk sejuk beku baharu berasaskan sumber laut, tepung dan kentang goreng.

Manakala Jaman Tory Food Industries pula melihat penyertaan di Makkah sebagai kesinambungan kepada pameran antarabangsa seperti MIHAS dan Gulfood Dubai, dengan sasaran memperluas bekalan produk pes ke Arab Saudi serta perancangan perjanjian pembekalan kepada jemaah haji 2026.

Selain itu, Bokitta menyifatkan sokongan Bank Rakyat sebagai pemangkin penting dalam memperkukuh jenama tempatan di peringkat antarabangsa melalui kolaborasi strategik bersama pemain industri dan institusi kewangan.

Agro 19 Berhad pula memaklumkan penyertaan itu membuka peluang memperluas pasaran produk minyak sapi sayuran dan minyak sawit, selain perancangan menubuhkan kemudahan pemprosesan di Arab Saudi bagi menembusi pasaran Timur Tengah dan Afrika.

Bagi Ramly Food Processing pula, forum berkenaan menjadi platform strategik untuk membina rangkaian pembuatan produk halal sejuk beku Malaysia, di samping mendapatkan rakan usaha niaga baharu serta meningkatkan pematuhan piawaian eksport antarabangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top