
Wakil media yang berlepas ke Kemboja bagi menyertai program anjuran Bank Rakyat itu.
BANK Rakyat menghantar seramai 21 petugas termasuk wakil media bagi menghidupkan semula Program Kembara Korban Kemboja 2025 yang terhenti sebelum ini akibat pandemik Covid-19.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Perniagaan) Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria berkata, penganjuran program kali ini bertujuan menyempurnakan ibadah korban dan mengagihkan bantuan kepada komuniti Islam di Kemboja.
Ujarnya, program tersebut dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1,000 penerima di beberapa wilayah di negara berkenaan.

Nor Haimee
“Misi kali ini adalah manifestasi keprihatinan para pendeposit kami melalui Tabung Korban Bank Rakyat. Sebanyak 45 ekor lembu akan dikorbankan dan diagihkan melalui program ini.
“Program ini telah dilaksanakan sejak tahun 2015, namun dihentikan sementara akibat pandemik Covid-19, dan kini kita sambung semula pada tahun ini,” katanya kepada petugas media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada Jumaat.
Menurut Nor Haimee, inisiatif berkenaan menjadi platform kepada para pendeposit untuk menunaikan ibadah korban di samping membantu golongan yang memerlukan di peringkat serantau.
Katanya, misi tersebut turut menyumbangkan agihan daging korban serta pek beras seberat 10 kilogram (kg) kepada setiap penerima bagi meringankan beban penduduk setempat.
“Agihan bantuan ini difokuskan di beberapa lokasi strategik seperti Kampung Trapeng Prinh dan Perkampungan Swai Relom berdekatan Phnom Penh.
“Salah satu pusat agihan kami adalah di Madrasah Syafie, sebuah institusi yang diasaskan oleh rakyat Malaysia, yang menunjukkan jalinan erat antara dua negara secara berterusan,” ujarnya.
Jelas beliau, Kemboja merupakan salah satu pilihan lokasi yang ditawarkan kepada pendeposit Tabung Korban, selain lokasi dalam negara.
“Ramai pendeposit memilih menyalurkan korban mereka ke Kemboja kerana ingin membantu saudara seagama yang hidup dalam keadaan lebih mencabar. Bank Rakyat hanya membantu mempermudahkan niat murni mereka.
“Harapan kami agar inisiatif Tabung Korban terus mendapat sambutan. Ia bukan sahaja membantu pihak kami mencapai sasaran deposit, tetapi lebih penting, ia menjadi wadah untuk masyarakat menunaikan tanggungjawab agama dan sosial dengan lebih mudah melalui simpanan bulanan,” katanya.