Bank Rakyat perkenal inisiatif Hulurkan Salam, rai sokongan usahawan dan koperasi

Bank Rakyat perkenal inisiatif Hulurkan Salam, rai sokongan usahawan dan koperasi

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bank Rakyat memperkenalkan inisiatif baharu melalui kempen Hulurkan Salam bagi meraikan sokongan usahawan dan koperasi serta pengenalan produk perbankan inovatif baharu sebagai tanda menghargai sokongan dan kesetiaan pelanggan sepanjang 70 tahun penubuhan Bank Rakyat.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Nor Haimee Zakaria berkata, kempen ini menawarkan pelbagai hadiah menarik bagi memenuhi keperluan dan kehendak kewangan pelanggan yang setia bersama Bank Rakyat.

“Bank Rakyat sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memberi semula manfaat yang diperoleh kepada masyarakat.

“Pelbagai insiatif dilaksanakan bagi mengeratkan hubungan sesama insan dan membawa sinar keceriaan kepada masyarakat yang memerlukan sepanjang Ramadan dan Syawal ini,” katanya di majlis pelancaran Bazar Riang Raya, di sini, hari ini.

Menurutnya, Bank Rakyat turut memperkenalkan produk inovatif baharu, Touch Card menerusi Kad Debit-i dan Kad Kredit-i Bank Rakyat iaitu kad perbankan patuh Syariah yang direka khas untuk membantu pengguna kurang upaya penglihatan melakukan transaksi dengan lebih mudah dan selamat.

“Bermula April tahun ini, 30 penerima pertama Touch Card daripada Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) akan menerima insentif berjumlah RM200 menerusi kad Debit-i,” katanya.

Katanya, pihaknya turut menawarkan pembiayaan bernilai RM250 juta kepada Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM), yang merekodkan lebih 116,000 ahli.

Sementara itu, Bank Rakyat turut melancarkan semula program BRKOPLestari-i bagi membantu koperasi mikro, kecil dan sederhana yang selama ini tergolong dalam kategori kurang diberi perkhidmatan (underserved) dan tidak diberi perkhidmatan (unserved) untuk terus berkembang dan berdaya saing dalam ekosistem koperasi negara.

“Dengan penambahbaikan yang lebih menyeluruh, BRKOPLestari-i kini menawarkan pembiayaan sehingga RM500,000, kaedah jaminan yang lebih fleksibel serta pelbagai latihan komprehensif yang merangkumi pengurusan aset berkualiti oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), pemasaran digital, jualan dan kursus lain yang relevan.

“Inisiatif ini bukan sekadar menyediakan akses kepada modal, tetapi turut membimbing koperasi ke arah pertumbuhan yang lebih progresif dan lestari,” katanya.

Dalam pada itu, Bazar Riang Raya 2025 yang berlangsung selama empat hari sehingga 21 Mac ini, menghimpunkan 100 gerai usahawan bermula jam 10 pagi hingga 6 petang, yang mana memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk menjana pendapatan, meneroka peluang pasaran serta jaringan kerjasama baharu bersama Bank Rakyat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top