yusri.muzamir@bh.com.my
Kuala Lumpur: Bank Rakyat sudah mengatasi insiden keselamatan siber dan komited memastikan persekitaran perbankannya selamat serta boleh dipercayai untuk pelanggan.
Bank Rakyat dalam kenyataan malam ini berkata, perkara itu disahkan menerusi notis awam dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai Penalti Monetari Pentadbiran (AMP) berkaitan insiden keselamatan siber pada 2024.
Katanya, BNM mengesahkan perkara itu sudah ditangani dan tindakan pemulihan sewajarnya telah dilaksanakan.
“Bank Rakyat secara berterusan melaksanakan penambahbaikan terhadap infrastruktur teknologi, kawalan keselamatan siber serta proses operasi bagi memperkukuh ketahanan sistem dan melindungi maklumat pelanggan.
“Usaha ini merangkumi peningkatan keupayaan pemantauan, pengesanan ancaman serta pengawasan tadbir urus, selaras jangkaan kawal selia dan amalan industri.
“Kami merakamkan penghargaan atas sokongan dan keyakinan berterusan daripada pelanggan serta pihak berkepentingan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




