
Inisiatif Bank Rakyat menerusi Program Imarah Ramadan membantu golongan asnaf di seluruh negara menyediakan kelengkapan berpuasa dan Aidilfitri.
SHAH ALAM – Bank Rakyat menyerahkan bakul makanan dan wang sumbangan dengan nilai keseluruhan RM300,000 kepada 1,500 keluarga asnaf secara serentak di 50 lokasi seluruh negara menerusi Program Imarah Ramadan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, inisiatif itu dilaksanakan bertujuan untuk mengimarahkan bulan Ramadan yang penuh barakah dengan aktiviti kemasyarakatan bersama komuniti setempat.
Menurut beliau, Bank Rakyat bukan sahaja berperanan dalam menyediakan perkhidmatan kewangan yang holistik, tetapi turut memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
“Inisiatif sumbangan bakul makanan ini telah memasuki tahun keempat dan ia mencerminkan usaha berterusan Bank Rakyat dalam mementingkan aspek kebajikan sosial masyarakat, melebihi aspek hubungan perniagaan dan keuntungan semata-mata.
“Ini sejajar dengan nilai Malaysia Madani yang mengutamakan kesejahteraan dan ihsan yang menjadi tunjang kekuatan operasi kami selama ini.
“Mereka akan menerima sebuah kotak makanan bernilai RM100 yang mengandungi keperluan asas seperti beras, tepung, minyak masak, gula, ketupat termasuk sumbangan tunai RM100 bagi membantu meringankan beban dalam memenuhi keperluan seharian menjalani ibadah puasa dan persiapan menyambut Aidilfitri kelak,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, menurut Ahmad Shahril, program bertemakan ‘Hulurkan Salam’ itu membuktikan usaha berterusan Bank Rakyat dalam melaksanakan inisiatif berimpak positif kepada masyarakat.
“Program bersempena dengan bulan Ramadan pada tahun ini menunjukkan impak yang positif kepada masyarakat,” ujarnya.