
Bank Rakyat pegang teguh integriti tadbir urus dalam pengurusan Yayasan Bank Rakyat.
BANK Rakyat menegaskan pihaknya sentiasa mengutamakan prinsip tadbir urus korporat, integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap aspek pengurusan termasuk dalam peranan sebagai pengasas Yayasan Bank Rakyat (YBR).
Bank Rakyat berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung laporan media berkenaan tindakan undang-undang oleh Syaiful Rizal Abdul Ghani dan beberapa warga kerja YBR.
“Bank Rakyat ingin menjelaskan bahawa perkara berkaitan dengan penamatan perkhidmatan Syaiful Rizal Abdul Ghani adalah mengikut prosedur dan lunas-lunas perundangan yang sah.
“Sebarang keputusan yang melibatkan pengurusan YBR telah dilaksanakan melalui proses sewajarnya dan berlandaskan mandat serta kuasa yang diberikan oleh perundangan dan peraturan sedia ada,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menerusi kenyataan sama Bank Rakyat juga menegaskan, dakwaan individu terbabit yang tular di media sosial adalah tidak tepat dan tidak menggambarkan situasi sebenar.
“Sehubungan itu, kami memohon kepada semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan kenyataan tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang awam.
“Kami juga berharap agar semua pihak dapat menghormati perjalanan proses mahkamah yang sedang berlangsung.
“Bank Rakyat amat menghargai kepercayaan dan sokongan berterusan daripada semua pihak berkepentingan dalam usaha untuk menangani perkara ini secara profesional dan bertanggungjawab,” katanya.
Tambah Bank Rakyat, pihaknya sentiasa komited untuk memastikan YBR dapat terus memainkan peranannya dalam menyokong pembangunan pendidikan, komuniti dan agenda sosial negara melalui pengurusan yang cekap, berhemah, bertanggungjawab dan bebas daripada sebarang pengaruh yang tidak selaras dengan nilai-nilai dan matlamat berkenaan.