
Terbitan berkenaan dilaksanakan menerusi proses penetapan harga pada 24 April 2025.
SHAH ALAM – Bank Rakyat berjaya menerbitkan Nota Kewangan Islam Jangka Sederhana (IMTN) berjumlah RM1 bilion dibawah terbitan Sukuk Wakalah melalui syarikat tujuan khas (SPV) Imtiaz Sukuk II Berhad.
Terbitan berkenaan dilaksanakan menerusi proses penetapan harga pada 24 April 2025 di bawah Program Sukuk Wakalah Senior sehingga RM10 bilion yang diberikan penarafan AA2 oleh RAM Rating Services Berhad.
Menurut Bank Rakyat, terbitan tersebut merangkumi dua bahagian iaitu RM120 juta bagi tempoh lima tahun dan RM880 juta bagi tempoh tujuh tahun.
“Bank Rakyat juga berjaya memperoleh permintaan yang menggalakkan bagi Sukuk Wakalah Senior dengan bidaan sebanyak 1.98 kali daripada jumlah terbitan sebenar.
“Jumlah terkumpul daripada terbitan Sukuk Wakalah Senior berkenaan akan dimanfaatkan oleh Bank Rakyat bagi tujuan perbankan patuh Syariah termasuk keperluan modal kerja, perbelanjaan modal, pelaburan umum, menyediakan pembiayaan dan tujuan korporat am,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambah kenyataan sama, Bank Muamalat Malaysia Berhad, CIMB Investment Bank Berhad, Maybank Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad telah dilantik sebagai pengurus utama bersama bagi terbitan program Sukuk Wakalah tersebut.