Bank Rakyat tingkat literasi kewangan menerusi Program Bulan Literasi Kewangan 2026

Bank Rakyat tingkat literasi kewangan menerusi Program Bulan Literasi Kewangan 2026

BANK Rakyat terus mempergiat usaha meningkatkan literasi dan daya tahan kewangan masyarakat menerusi Program Bulan Literasi Kewangan 2026 yang menekankan amalan menabung, pengurusan wang berhemah serta penggunaan perbankan digital secara selamat.

Menurut kenyataan bank berkenaan, program itu mencerminkan komitmen untuk memperluas pendidikan dan keterangkuman kewangan khususnya dalam kalangan komuniti yang belum atau kurang mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan.

Tambahnya, perancangan kewangan yang berkesan bermula dengan langkah kecil yang dilakukan secara konsisten termasuk menabung, berbelanja mengikut kemampuan dan memanfaatkan kemudahan digital secara bijak serta bertanggungjawab.

“Perancangan kewangan yang berkesan bermula dengan langkah kecil yang konsisten seperti menabung, berbelanja mengikut kemampuan dan memanfaatkan kemudahan digital secara bijak serta bertanggungjawab.

“Apabila masyarakat memiliki tahap literasi kewangan yang tinggi, mereka lebih bersedia menghadapi sebarang cabaran ekonomi serta berupaya merancang masa depan dengan yakin,” ujar kenyataan tersebut.

Bank Rakyat menyerahkan zakat berjumlah RM347,250 kepada 24 sekolah di sekitar Alor Setar.

Bank Rakyat menyerahkan zakat berjumlah RM347,250 kepada 24 sekolah di sekitar Alor Setar.

Bertemakan “Bijak Wang Dulu, Tenang Bila Perlu”, program yang berlangsung di Kompleks Pembangunan Asnaf Lembaga Zakat Negeri Kedah baru-baru ini menghimpunkan lebih 1,200 pengunjung serta melibatkan penyertaan lebih 37 institusi pendidikan.

Program berkenaan menyokong pelaksanaan Bulan Literasi Kewangan anjuran Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) yang dipengerusikan bersama oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Pengisiannya merangkumi empat sesi perkongsian utama iaitu “Bijak Wang Dulu, Tenang Bila Perlu”, “Urus Kewangan, Sejahtera Kehidupan”, “Perbankan Tanpa Batas di Hujung Jari Anda” serta “Penipuan Jenayah Siber dan Digital”.

Turut diadakan sesi penerangan mengenai pengurusan kewangan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Alor Setar.

Usaha mendekati komuniti melalui pendidikan kewangan itu turut sejajar dengan aspirasi #UntukSemua Bank Rakyat, dengan penekanan terhadap golongan yang masih berdepan kekangan akses kepada pengetahuan dan kemudahan kewangan.

Penganjuran program di Alor Setar tahun ini merupakan kesinambungan usaha Bank Rakyat mendekati komuniti selepas pelaksanaan program sama di Tenom, Sabah pada 2023, Kota Bharu, Kelantan pada 2024 dan Bintulu, Sarawak pada 2025.

Selain pendidikan kewangan, Bank Rakyat turut memperluas capaian perkhidmatan perbankan menerusi Ar-Rahnu on Wheels (ARROW), khususnya bagi pelanggan di kawasan pedalaman dan lokasi yang mempunyai akses terhad kepada kemudahan kewangan.

Sementara itu, perkhidmatan Bank Bergerak Alor Setar yang diperkenalkan sejak 2016 dinaik taraf kepada ARROW pada 2024 dengan penambahan perkhidmatan Ar-Rahnu.

Kemudahan itu turut menawarkan urusan pembukaan akaun, deposit dan pengeluaran tunai, pembayaran bil serta pemindahan dana tanpa pelanggan perlu mengunjungi cawangan.

Pada majlis sama, Bank Rakyat turut menyerahkan zakat berjumlah RM347,250 kepada 24 sekolah di sekitar Alor Setar.

Yayasan Bank Rakyat pula menyampaikan bantuan awal persekolahan berjumlah RM3,750 kepada Pertubuhan Jagaan Kasih Anak Yatim dan Anak Asnaf Kuala Nerang.

Scroll to Top