suliati@hmetro.com.my
Shah Alam: Kebolehan mengurus kewangan dengan bijak antara kemahiran penting yang perlu dikuasai pelajar sebelum melangkah ke alam pekerjaan, sejajar cabaran kos sara hidup dan tuntutan dunia kerjaya masa kini.
Menyedari hakikat itu, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus memperkasa pelajar melalui penganjuran Program Smart Next Gen bersama mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM), yang memberi tumpuan khusus kepada literasi kewangan dan persediaan awal kerjaya.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata Program Smart Next Gen itu adalah usaha PTPTN membantu pelajar membina asas kewangan yang kukuh dan memotivasikan pelajar untuk mengharungi alam pekerjaan.
“Pendekatan ini menzahirkan komitmen PTPTN bukan sahaja dalam menyediakan pembiayaan pendidikan malah dalam melengkapkan pelajar dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.
“Program Smart Next Gen juga memberi pendedahan berkaitan kemahiran pengurusan kewangan yang selari dengan keperluan semasa.
“Kesedaran awal mengenai pengurusan hutang, kepentingan penabungan dan amalan kewangan berhemah perlu diterapkan agar pelajar mampu membuat keputusan bijak termasuk memilih instrumen simpanan menawarkan pelbagai manfaat serta pulangan jangka panjang,” katanya pada program yang berlangsung di Dewan Mawar Qaseh, UiTM Shah Alam.
Turut dihadiri pada majlis itu Penolong Naib Canselor Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED), Profesor Madya Dr Badrul Isa serta pengurusan kanan PTPTN dan UiTM.
Norliza berkata, program berkenaan juga adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertujuan berkongsi ilmu serta pengalaman merentas pelbagai bidang.
Katanya, program itu juga membantu membuat persediaan awal sebelum melangkah ke alam kerjaya selepas tamat pengajian.
“Sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), PTPTN sentiasa menjalin kerjasama erat dengan institusi pendidikan tinggi (IPT) dan menyokong usaha memartabatkan sektor pendidikan tinggi negara menerusi pelaksanaan pelbagai program berimpak bukan sahaja bagi meningkatkan pencapaian akademik, malah kebajikan dan kesejahteraan pelajar.
“Menerusi program ini, pelajar diberikan fokus utama kepada pendedahan ilmu literasi kewangan termasuk perancangan simpanan dan pengurusan hutang,” katanya.
Program itu juga turut diserikan dengan sesi Literasi Kewangan oleh Encik Hanis Zulkifli dan ‘Sembang Santai’ bersama Norliza serta pempengaruh terkenal Athirah Kamaruzzaman atau Tyra Kamaruzzaman dan Muhammad Noor Zakaria atau lebih dikenali sebagai MadNor yang bersama-sama berkongsi dan membincangkan mengenai pengurusan literasi kewangan golongan muda khususnya dalam kalangan mahasiswa.
Norliza berkata, sesi perkongsian menarik daripada pakar motivasi dan panel berpengalaman yang memberi panduan praktikal serta inspirasi kepada pelajar untuk membentuk pelajar berdaya saing.
“Ia selaras dengan peranan PTPTN dalam membimbing pelajar bukan sahaja dari segi akademik, malah aspek kewangan, tabungan dan tanggungjawab jangka panjang,” katanya.
Program Smart Next Gen ini juga kesinambungan kepada inisiatif pemerkasaan pelajar yang dilaksanakan sebelum ini seperti Program Literasi Kewangan dan Persediaan Kerjaya pada 2022 dan 2023 serta Program Campus To Career with PTPTN pada 2024.
Ia antaranya memberi penekanan kepada perancangan kewangan berhemah dan pembentukan tabiat kewangan mampan dalam kalangan pelajar.
PTPTN juga akan terus komitmen untuk memperkukuh pelaksanaan program CSR khususnya dalam aspek pendidikan demi pembangunan anak bangsa, selari dengan motonya Peluang Kejayaan Anda dan tagline PTPTN Prihatin: Kami Kongsi, Kami Bantu.
Bagi pelajar tahun dua, Sarjana Muda Pengajian Bahasa Gunaan (Kepujian) Bahasa Inggeris Komunikasi Antara Budaya, Amiratul’ain Rahimi, 21, berkata program itu wajar disertai generasi muda kerana ramai dalam kalangan mereka masih kurang peka dalam mengawal perbelanjaan.
Menurut Amiratul’ain yang juga ahli Majlis Perwakilan Pelajar UiTM berkata awalnya, dia melihat Program Smart Next Gen itu lebih tertumpu kepada aspek pinjaman, selari dengan tanggapan umum terhadap PTPTN.
“Namun, dengan penggunaan perkataan ‘Smart’ dalam nama program itu sendiri, ia sudah memberi bayangan awal bahawa pengisian yang dibawakan adalah berkaitan kebijaksanaan mengurus kewangan, khususnya dalam kalangan mahasiswa.
“Bagi saya, pendedahan mengenai pengurusan kewangan sangat membantu kami mahasiswa membezakan antara kehendak dan keperluan, sekali gus mengelakkan sikap boros yang sering berlaku apabila memperoleh wang lebihan.
Amiratul’ain berkata sebagai pelajar, kesedaran untuk menahan keinginan berbelanja dan mendahulukan perkara penting adalah satu kemahiran hidup yang perlu dibentuk sejak awal.
“Bagi saya, perkongsian MadNor dan Tyra Kamaruzzaman juga sangat relevan dan dekat dengan realiti kami.
“Pengalaman sebenar yang dikongsi mereka bukan sahaja memberi ilmu, malah menjadi sumber inspirasi untuk lebih berdisiplin dalam kewangan,” katanya.
Sementara itu, pelajar tahun kedua Sarjana Muda Muamalat, Arash Danish Mohd Kamal, 21, berkata program itu cukup memberi makna kerana selain memberi panduan pengurusan perbelanjaan, program itu turut menjelaskan mengenai perkhidmatan lain ditawarkan PTPTN.
Katanya, ini termasuk inisiatif myWaqafPTPTN yang disifatkannya sebagai pendekatan segar dan berimpak besar.
“Bagi saya myWaqafPTPTN bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan pelajar terutama dari golongan B40, asnaf dan fakir miskin, malah menjadi alternatif terbaik selain pinjaman semata-mata,” katanya.
Arash Danish berkata peranan PTPTN sangat penting untuk pelajar kerana dengan bantuan yang diberikan, mereka dapat meneruskan pengajian tanpa bebanan kewangan.
“Terima kasih kerana menganjurkan Program Smart Next Gen yang cukup bermakna ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



