Sebarang bantuan yang diberikan ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kepada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah atas kapasiti individu dan bukan mewakili pendirian rasmi parti.
Sokongan bersifat peribadi

Memetik laporan Utusan Malaysia, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS telah mengarahkan seluruh jenteranya supaya memberi tumpuan sepenuhnya kepada kawasan yang ditandingi parti itu sepanjang tempoh kempen PRN Johor.
Beliau menjelaskan, sekiranya terdapat ahli PAS yang membantu calon Bersatu, tindakan tersebut dibuat atas hubungan peribadi dan bukannya berdasarkan arahan atau keputusan rasmi parti.
“Kami menganggap itu berlaku dalam hubungan peribadi, perkara seperti itu berlaku dalam semua parti politik.
“Namun, arahan parti kepada jentera parti jelas, masing-masing bertugas di kawasan yang ditandingi parti masing-masing,” katanya, semalam.
Mengulas sama ada tindakan membantu calon parti komponen lain itu bertentangan dengan arahan PAS Pusat, Tuan Ibrahim menegaskan bahawa parti telah mengeluarkan garis panduan yang jelas kepada semua jentera.
Foto: Free Malaysia Today
“Pengarahan parti jelas, manakala individu yang mahu membantu parti komponen lain, itu hak masing-masing,” tambahnya lagi.
Artikel lain: PRN Johor: PAS tak bantu kempen BERSATU? Muhyiddin hormat keputusan -“Saya pun tak minta…”
Semalam, media melaporkan Pengasas BERSATU, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof mendakwa masih terdapat jentera PAS yang membantu kempen calon BERSATU secara senyap di 16 kerusi yang ditandingi parti itu dalam PRN Johor.
Menurut beliau, kerjasama antara PAS dan Bersatu di peringkat akar umbi masih berlangsung dengan baik, malah beliau mendakwa menyaksikan sendiri kehadiran jentera PAS yang membantu kempen calon Bersatu sepanjang minggu pertama tempoh berkempen.
Sumber: Utusan Malaysia (Nuraina Hanis Abd. Halim)




