Bantu pelajar B40 cemerlang SPM

Bantu pelajar B40 cemerlang SPM

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Maxis meluaskan inisiatif komuniti utamanya, Maxis eKelas, untuk memperkasa pelajar daripada golongan B40 ke arah kejayaan akademik dan pengajian tinggi.

Melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Maxis melancarkan program perdana 18 bulan Menuju Gemilang 2025, supaya dapat mewujudkan laluan kepada pelajar kurang berkemampuan untuk cemerlang dalam peperiksaan SPM dan mencapai peluang pendidikan tinggi.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas berkata, program itu dibina berasaskan empat tonggak utama untuk menyediakan pembangunan pelajar yang komprehensif.

Katanya, pihaknya berbesar hati menyokong kerjasama awam-swasta yang memberikan murid kita peluang berharga untuk berjaya dalam bilik darjah dan melanjutkan pelajaran.

“Dengan menggabungkan sokongan Maxis bersama rangka pendidikan, kami dapat memperkasakan pelajar berpotensi tinggi dengan alat dan kemahiran untuk menjadi inovator dan pemimpin masa depan Malaysia.

“Kami menggalakkan pelajar dan guru agar memanfaatkan peluang ini demi membentuk masa depan yang lebih cerah,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis, Azizul Abdul Rahman berkata, pihaknya sedar pencapaian akademik perlu dipadankan dengan bimbingan dan sumber yang tepat.

Katanya, dengan menyokong pelajar cemerlang daripada golongan kurang berkemampuan, Maxis berhasrat mewujudkan laluan untuk menghubungkan mereka dengan aspirasi mereka melalui pengajian tinggi.

“Kami berterima kasih kepada ibu bapa yang memberi kami peluang ini, guru atas dedikasi mereka dan terutamanya pelajar atas komitmen mereka.

“Program ini mencerminkan kepercayaan kami bahawa Esok Bermula Hari Ini dan mengukuhkan dedikasi kami untuk membawa impak bermakna dalam kehidupan pelajar,” katanya.

Program Menuju Gemilang bermula dengan sesi onboarding yang direka untuk membangkitkan rasa pemilikan dan visi jangka panjang.

Pelajar diminta untuk menyatakan aspirasi akademik dan masa depan mereka, mewujudkan penanda aras untuk kejayaan mereka setelah menamatkan program.

Pada akhir sesi, setiap pelajar berikrar komitmen mereka kepada program dalam perjalanan mereka ke arah kecemerlangan akademik dan pertumbuhan peribadi.

Bagi memastikan setiap peserta mempunyai kelengkapan untuk berjaya, Maxis turut menyediakan komputer riba kepada setiap pelajar untuk tempoh 18 bulan, yang akan menjadi milik mereka setelah berjaya menamatkan program.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top