am@hmetro.com.my
Nilai: “Artis macam saya ini, kalau tiada ‘job’, tiada pendapatan. Bantuan ini tepat pada masanya,” kata Helmi Gimmick yang kini berjuang melawan kanser buah pinggang tahap empat.
Pemilik nama sebenar Harun Tahir, 65, itu menerima kunjungan wakil Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di kediamannya di Bandar Baru Nilai dan menerima sumbangan kewangan.
Penghibur serba boleh itu berkata, sebagai pekerja gig seperti barisan anak seni lain yang bekerja sendiri, dia mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang melayakkannya menerima faedah.
“Saya rasa ramai yang sudah tahu mengenai keadaan saya kini. Saya baru keluar dari Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) sejurus selesai menjalani pembedahan membuang buah pinggang kiri kira-kira dua minggu lalu.
“Saya sendiri tidak sangka apabila dimaklumkan akan menerima kunjungan dan sumbangan daripada MAINS ini. Alhamdulillah,” katanya ketika dihubungi semalam.
Helmi masih menjalani rawatan susulan berkata, dia sangat terharu apabila peminat, individu, pihak swasta dan agensi tidak pernah melupakannya.
“Doa yang dititipkan itu sangat penting, sangat besar maknanya bagi saya. Ada yang bagi sumbangan, saya berterima kasih kepada semua pihak termasuk PERKESO dan MAINS.
“PERKESO mempunyai program sosial sinergi dengan pihak NGO (badan bukan kerajaan) atau mana-mana agensi seperti MAINS. Melalui Pusat Zakat di Nilai, mereka salurkan bantuan kepada saya,” katanya.
Menurutnya, bantuan sumbangan kewangan itu sememangnya tepat pada waktunya kerana baru sahaja keluar dari hospital dan bakal menyambut lebaran tidak lama lagi.
“Artis macam kami ini, pendapatan bergantung kepada kerja, jika tiada kerja, tiada pendapatan. Kalau sudah tiga bulan tiada kerja, agak mencabar juga,” katanya.
Sementara itu, MAINS dalam kenyataan di media sosial memaklumkan, sumbangan wang tunai sebanyak RM500 disampaikan Penolong Pegawai MAINS Cawangan Nilai, Siti Hajar Daud sebagai tanda sokongan dan keprihatinan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




