Bantuan RM500 sebulan untuk Pak Mail diuruskan cucu perempuan – JKM

Bantuan RM500 sebulan untuk Pak Mail diuruskan cucu perempuan – JKM

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Bantuan bulanan sebanyak RM500 sebulan kepada warga emas, Ismail Che Noh, 79, atau Pak Mail yang kisahnya tular selepas dibantu badan bukan kerajaan (NGO) Khamis lalu akan diuruskan oleh cucu perempuannya.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Che Samsuzuki Che Noh berkata, bantuan berkenaan akan bermula bulan ini.

“Semalam saya berkunjung ke rumah Pak Mail dan pada masa sama bertemu ahli keluarga bagi memilih waris yang layak untuk menguruskan bantuan Pak Mail.

“Selepas pertemuan itu, kita memilih cucu Pak Mail yang berusia 25 tahun dan juga tinggal di rumah yang sama didiami Pak Mail sekarang.

“Saya sudah mengingatkan cucu Pak Mail supaya wang yang disalurkan itu digunakan untuk keperluan Pak Mail,” katanya ketika dihubungi.

Pada masa sama katanya, keadaan Pak Mail juga semakin baik dengan suasana bilik yang selesa dilengkapi tilam serta kerusi untuk warga emas berkenaan.

“Alhamdulillah keadaannya semakin terjaga dan ketika lawatan saya semalam, Pak Mail juga dipakaikan lampin pakai buang.

“Bagaimanapun kita akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi melihat keadaan Pak Mail,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, JKM dalam proses menentukan waris yang layak untuk menjaga akaun bagi Bantuan Pesakit Terlantar (BPT) sebanyak RM500 sebulan kepada Pak Mail.

Pak Mail, atau nama sebenarnya Ismail Che Noh, 79, sebelum ini menjadi perhatian ramai selepas kisahnya dikongsikan di media sosial oleh NGO menerusi aktivis sosial, Abbe Hae, ketika ditemukan di Kampung Repek, Pasir Mas, pada Khamis lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top