sukan@hmetro.com.my
Alor Setar: Usaha Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk mengumpul sasaran 20,000 penyokong melalui keahlian The Wing yang dimulakan pada awal Februari lalu masih melalui jalan berliku apabila belum mencapai sasaran yang diharapkan.
Pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar memaklumkan usaha pihaknya untuk mengumpul seramai 20,000 keahlian itu baru mencecah 11,100 ahli yang disifatkan sebagai kurang memberangsangkan berbanding potensi jumlah penyokong Kedah sedia ada.
Justeru, Sang Kenari kembali menyusun strategi terbaru untuk meluaskan sasaran keahlian dengan membuka ruang kepada kelab penyokong bertaraf amatur bagi meningkatkan lagi jumlah keahlian sedia ada disamping memperkukuhkan pemasaran serta jenama KDA FC di masa depan.
“Sehingga hari ini, hanya sekitar 11,100 penyokong yang sudah mendaftar dan oleh kerana sasaran kami adalah seramai 20,000 ahli, KDA FC akan melancarkan pula The Wing Club pada 14 Mac 2025 (hari ini) untuk membuka pendaftaran kepada semua kelab amatur di Malaysia.
“Dengan yuran tahunan RM250 untuk sebuah kelab, setiap kelab akan mendapat laman sesawang masing-masing untuk tujuan hebahan, profiling, penjualan dan segala aktiviti kelab masing-masing sebagai balasan. Kami percaya inisiatif ini akan dapat melonjak pendaftaran untuk mencapai jumlah 20,000 dan bila ini berlaku, penajaan juga akan berlaku.
“Kami juga telah melantik tiga duta rasmi kepada KDA FC yang merupakan figura hebat iaitu Black Hanifah, CEO Batu dan CEO Biezy untuk mempromosikan kelab, aktiviti dan barangan kelab. Manakala berkaitan Duta The Wing dari Portugal, minta semua bersabar kerana kami akan isytiharkan bila semua urusan kontrak selesai,” katanya pada kenyataan rasmi yang keluarkan media Sang Kenari hari ini.
Mohd Daud juga menjelaskan pihaknya telah berbincang dengan pelbagai pihak yang berpotensi samada sebagai pemilik saham, penaja atau apa saja cara untuk menjadi penyelamat kepada KDA FC.
“Pihak pengurusan pula sentiasa berkomunikasi dengan pihak MFL secara jujur dan terbuka dan berusaha bagi memastikan KDA FC terus relevan dalam lanskap bola sepak Malaysia.
“Apabila berlaku sesuatu isu yang tular tentang kelab, ramai akan bertanya apakah respon kelab, apa yang kelab telah lakukan dan apakah pemilik telah buat. Jarang orang bertanya apakah yang kita sebagai peminat, penyokong dan warga Kedah lakukan.
“Saya sudah banyak kali membuat seruan dan rayuan ini kepada semua pihak agar bantulah kami dengan apa saja cara dan jumlah bantuan. Setiap daripada kita datang dan pergi tetapi biarlah pasukan keramat kita kekal buat selamanya jika diizinkan Allah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




