Banyak berzikir selepas diuji – Nabil

Banyak berzikir selepas diuji – Nabil

Kuala Lumpur: Pelawak, pengacara dan penyampai radio, Nabil Ahmad yang dihimpit kontroversi baru-baru ini berkata dia hanya menumpukan ibadah puasa sepanjang Ramadan.

Terdahulu Nabil bersama dua rakan penyampai di Era FM, Azad Jazmin dan Radin Amir Affendy sebelum ini terpalit dengan isu persenda agama sehingga trio penyampai 3 Pagi Era itu menerima hukuman atas kekhilafan apabila digantung tugas serta merta.

Menurut Nabil, insiden itu memberi pengajaran buatnya dan menganggap ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.

“Saya percaya tiada perkara yang tidak baik. Mungkin daripada mata kasar kelihatan seperti tak baik, tetapi ada kebaikan tidak diketahui.

“Jadi, bersangka baiklah kepada Allah, pasti perkara baik-baik akan menyusul, insya-Allah,” katanya.

Tambahnya lagi semua pihak perlu ambil tanggungjawab terhadap apa yang berlaku dan lebih berhati-hati memuat naik sebarang video parodi pada masa akan datang.

“Mungkin inilah juga adalah peluang buat saya menggandakan ibadah dan mendekatkan diri pada Allah ketika tempoh itu (digantung tugas).

“Tiada guna untuk merasa kesal dan perkara sudah berlaku. Sepanjang tempoh itu juga saya banyak berzikir dan menumpukan kerja-kerja amal,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, pihaknya tetap menyambung kontrak Nabil biarpun dihambat kontroversi.

“Saya melihat Nabil seorang yang jujur dan ikhlas. Saya akan sokong Nabil dan berharap peminat memberi semangat kepadanya.

“Saya dan Nabil sudah 15 tahun bersahabat. Ketika berdepan kesukaran dalam perniagaan ketika pandemik Covid-19, Nabil datang membantu saya. Dia adalah sahabat sejati,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top