Pendakwah selebriti, Haris Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz tidak pernah gagal menzahirkan penghargaan terhadap isterinya, Noor Neelofa, apatah lagi sempena ulang tahun kelahiran figura terkenal itu yang disambut setiap 10 Februari.
Kata PU Riz, kehadiran Neelofa membuatkan kehidupannya sekeluarga menjadi luar biasa.
“Sudah semestinya tidak berlalu 10 Februari tanpa ingatan dan coretan buat adinda. Pertama, syukur ke hadrat Tuhan telah memberi dan memanjangkan usia kita hidup bersama. Kehadiran adinda buat keluarga kita SubhanAllah amat luar biasa,” katanya di Threads.

Dalam masa sama, pendakwah tersebut turut memuji keperibadian Neelofa yang sentiasa cekal dalam membesarkan anak-anak dan bijak menjaga maruahnya sebagai seorang isteri.
“Sejujurnya amatlah banyak kebaikan yang telah dibuktikan dengan perbuatan oleh zaujah, dari akhlak, jaga anak-anak dan maruah diri. Sungguh pada pendapat saya zaujah ikhlas melakukannya.
“Kalaulah anak-anak boleh bercakap lancar, mungkin Abbas dan Bilal akan lihat ibunya dan berkata ibukulah segalanya buatku.
“Mana tidaknya dari pesan makan ‘butter chicken’, mi sup, ayam kicap, ayam kurma dan juga pizza sehinggalah juga dengan kasih sayang yang tidak putus,” ujarnya.
Dalam pada itu, PU Riz turut mengimbau kenangan ketika mengerjakan umrah bersama, sekali gus mendedahkan momen menyentuh hati apabila Neelofa lebih mendoakan kesejahteraan suami dan anak-anak berbanding dirinya sendiri.
“Teringat akan satu waktu kita berada di Tanah Suci selesai saja umrah, sedang berjalan pulang dengan nada sederhana dan mungkin jua sebak zaujah sebut ‘saya banyak doa untuk kita rezeki awak dan anak-anak’.
“Apa lagi yang diinginkan dari seorang ibu atau isteri yang menyayangi keluarganya lebih dari yang lain,” kongsinya.
Sekadar info, Haris dan Neelofa telah mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Muhammad Bilal dan Abdullah Abbas.




