Banyak pasukan sedia uji Harimau Malaya

Banyak pasukan sedia uji Harimau Malaya

Skuad Harimau Malaya akan ‘sibuk’ sepanjang tahun ini. – Foto FAM

SKUAD Harimau Malaya akan mengharungi beberapa aksi persahabatan tahun ini sebagai persiapan menghadapi saingan Piala Asia pada Januari 2024.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, beberapa pasukan sudah mengesahkan untuk perlawanan bertemu Harimau Malaya namun enggan mendedahkan nama pasukan tersebut.

“Sebenarnya kita dah muktamadkan dengan beberapa pasukan sudah mengesahkan untuk menentang pasukan negara. Tetapi, biar Kim Pan-go buat pengumuman.

“Kita akan ada dua perlawanan pada Mac, Jun, September dan juga Oktober. Oktober itu mungkin akan ada penganjuran Pestabola Merdeka,” katanya ketika ditemui media pada majlis kesyukuran selepas beliau dipilih sebagai Ahli Majlis FIFA 2023-2027, di Wisma FAM, pada Selasa.

Skuad negara tidak mempunyai kejohanan besar yang akan disertai tahun ini dan hanya boleh mengharapkan kepada aksi persahabatan untuk mengasah taring sebelum perlawanan Piala Asia 2024.

Sebelum ini, dikatakan bahawa Australia dijangka menjadi salah satu pasukan yang akan menguji pasukan negara dalam aksi persahabatan.

Dalam pada itu, Hamidin turut mahu Harimau Malaya mencatatkan aksi positif dalam aksi persahabatan itu untuk mengelakkan jatuh di kedudukan ke-26 dalam kalangan negara Asia.

Menurutnya, jika pasukan negara jatuh ke kedudukan ke-26, ia akan menyaksikan harimau Malaya perlu bermain aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

“Bulan Oktober kita kena hati-hati kerana kita berada di kedudukan ke-25 di Asia. Hong Kong pula berada di kedudukan ke-26 dengan perbezaan beberapa mata.

“Jika kita jatuh ke kedudukan ke-26 kita kena bermain dua perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027,” katanya.