Personaliti media sosial, Umisya Mazlan berkongsi perasaan mengenai kesabarannya mengharungi pelbagai ujian hidup yang selama ini dipendam tanpa diluahkan secara terbuka.
Menerusi perkongsian Umisya di ruangan Instagram Story, meskipun banyak perkara boleh dikongsikan kepada orang ramai, dia lebih memilih untuk bersuara sekadar membuktikan dirinya juga manusia biasa.
“Banyak sebenarnya boleh diceritakan dari A hingga Z, tapi cukuplah dengan bersuara untuk hanya membuktikan kepada manusia dan dunia.
“Diam Misya ini untuk kebaikan semua orang. Tapi Misya harap jangan timbulkan apa-apa spekulasi yang tak patut tentang Misya.
“Berpada-padalah dalam berkata sebab tak semua orang akan faham selagi tak berada di tempat kita (ketika Misya terduduk, jatuh sejatuhnya seorang diri),” tulisnya.
Umisya menambah, ramai hanya nampak dirinya ketika bersuara lantang tetapi tidak menyedari nilai kesabarannya yang selama ini dipertahankan.
“Itulah dia, orang tak melihat bila kita sabar, tapi orang melihat bila kita lantang.
“Cukup kita beringat Misya manusia juga. Misya ada ibu yang ada perasaan dan tiada sosok suami.
“Misya juga tiada lelaki yang boleh pertahankan Misya kecuali suami dan ayah kepada anak-anak Misya.
“Misya juga ada perasaan, ada hati dan ibu kepada anak-anak Misya,” katanya lagi.
Menurut Umisya, segala pengalaman pahit yang dilalui biarlah menjadi sempadan serta pengajaran buat dirinya.
“Cukuplah apa yang Misya telankan selama ini.
“Jadilah sebab orang percaya pada jiwa yang indah, hati yang baik dan tenaga yang positif. Jangan pernah berhenti menjadi seorang yang baik.
“Cukuplah bagi kami Allah sebaik-baiknya pelindung dan sebaik-baiknya penolong kami,” katanya.
Untuk rekod, suami Umisya iaitu Ahmad Aslam pernah mencetus perhatian selepas berkahwin dengan Marissa Dania, anak kepada pasangan selebriti Abby Abadi dan Norman Hakim di Songkhla, Thailand pada Disember 2023.
Aslam dan Umisya sebelum ini mendirikan rumah tangga pada Julai 2020, namun pernah berpisah pada September 2023 sebelum kembali rujuk ketika masih dalam tempoh idah.
Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan tiga orang cahaya mata, Hud, 4, Nuh, 3, serta seorang bayi perempuan yang kini berusia tujuh bulan.