Bapa Along Jinbara meninggal dunia

Bapa Along Jinbara meninggal dunia

am@hmetro.com.my

Sabak Bernam: Bapa kepada vokalis kumpulan Jinbara, Along iaitu Ahmad Shamsi Seri meninggal dunia di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya, petang semalam.

Ahmad Shamsi yang berusia 69 tahun meninggal dunia kira-kira 6.45 petang ketika menjalani rawatan kemoterapi susulan menghidap kanser hati tahap empat.

Rakan Along, Mohamed Iqbal Khalid, 50, berkata, jenazah Allahyarham akan dibawa ke kediamannya di Batu 2, Tebuk Pulai di sini.

“Jenazah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 37 Darat, Sabak Bernam,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam pada itu, Mohamed Iqbal turut memaklumkan Along atau nama sebenar Syah Nizam Ahmad Shamsi sempat menziarahi Allahyarham di IKN.

“Apabila mendengar perkhabaran bapanya sudah tiada, Along hanya mampu menitiskan air mata.

“Namun, dia bersyukur kerana sempat bertemu Allahyarham buat kali terakhir petang kelmarin,” katanya.

Untuk rekod, Along sudah menjalani pembedahan mengeluarkan cecair di otak dan menebuk tekak, pada September lalu.

Terdahulu, vokalis kumpulan Jinbara itu dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana tidak sedarkan diri selepas mengadu pening dan muntah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top