Bapa Amir Raja Lawak makin uzur

Bapa Amir Raja Lawak makin uzur

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Amir Raja Lawak, 36, memaklumkan keadaan bapanya, Azmi Deris yang menghidap kanser usus kini semakin uzur.

“Kalau dulu, bapa masih boleh bangun tetapi sekarang dia akan mudah terjatuh dan memerlukan pengawasan dari saya di rumah. Bapa juga pernah terhantuk di dinding dan terjatuh dari kerusi,” katanya.

Dalam masa sama, Amir juga enggan mengulas mengenai tindakan undang-undang daripada pihak Awesome TV terhadapnya.

Katanya, dia berharap isu baki bayaran tunggakan sebanyak RM18,000 itu dapat diselesaikan secara baik dengan pihak stesen TV berkenaan.

“Saya tak mahu memperbesarkan isu ini. Insya-Allah, akan ada perbincangan dengan orang tengah dan pihak yang terbabit dalam tempoh terdekat.

“Buat masa sekarang, saya perlu lebih berhati-hati untuk keluarkan sebarang kenyataan tapi jika ada sebarang makluman pasti saya akan tulis (di media sosial),” kata bekas peserta program Raja Lawak musim ketiga itu.

Amir turut bersyukur kerana menerima bantuan dan sokongan daripada ramai pihak selepas isu bayaran tunggakan itu mendapat perhatian ramai.

“Saya bersyukur ramai yang menyokong dan membantu termasuk daripada rakan artis.

“Ramai rakan artis yang bantu, tapi mereka tidak mahu dedahkan nama dan saya juga tidak mengetahui berapa jumlah wang yang mereka berikan kerana sumbangan dikreditkan terus ke akaun bapa,” katanya.

Terdahulu, Awesome TV memaklumkan satu tindakan undang-undang telah difailkan terhadap tiga selebriti iaitu Amir, Mamak Puteh dan Abu Mamu berikutan dakwaan kenyataan berunsur fitnah yang disebarkan melalui media sosial masing-masing.

Dalam laporan sebelum ini, Amir memuat naik hantaran mendakwa bayarannya bersama sebuah stesen televisyen masih tertunggak.

Amir mendakwa, dia hanya menerima sebahagian bayaran iaitu RM5,000 daripada jumlah keseluruhan RM23,000.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top