Bapa, anak maut dihempap kontena ketika dalam perjalanan pulang ke rumah

Bapa, anak maut dihempap kontena ketika dalam perjalanan pulang ke rumah

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Perjalanan pulang seorang bapa bersama anak perempuannya berakhir dengan kejadian menyayat hati apabila kedua-duanya meninggal dunia selepas Toyota Avanza dinaiki mereka dihempap kontena di Jalan Sepanggar, berhampiran Sabah Port, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 6.20 petang itu, Mohd Jadi Pelbi, 53, dan Norfaieza Mohd Jadi, 24, terperangkap di dalam Toyota Avanza sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Difahamkan, dua beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Kuala Baru, di sini, selepas Mohd Jadi mengambil Norfaieza yang bekerja di Manggatal.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Mohd Hannis Mokthar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan, jam 6.31 petang sebelum 26 anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi.

Katanya, menurut keterangan saksi, sebuah lori treler yang sedang mengangkat kontena dari tepi Jalan Pelabuhan Sepanggar Bay, dipercayai hilang keseimbangan sebelum terbalik lalu menghempap kereta mangsa yang melalui jalan berkenaan.

“Pasukan bomba tiba jam 7.01 malam dan memulakan operasi menyelamat, namun berdepan kesukaran kerana kontena perlu diangkat terlebih dahulu.

“Dua kren tiba pada jam 9.21 malam bagi membantu mengangkat kontena sebelum kenderaan dinaiki mangsa berjaya dikeluarkan,” katanya pada kenyataan, malam ini.

Menurutnya, bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit.

“Bagaimanapun, kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Mayat diserah kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala operasi ditamatkan sepenuhnya, jam 10.30 malam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top