rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bapa kepada arwah bayi Adham yang ‘disimpan’ dalam peti sejuk mayat oleh hospital swasta selama lebih dua minggu, sudah membuat laporan polis semalam.
Perkara itu disahkan peguamnya Muhammad Hariz Md Yusoff yang berkata, laporan dibuat malam tadi di Balai Polis Kota Damansara.
“Anak guam kami sudah membuat dua laporan polis berhubung isu terbabit termasuk berkenaan dengan penahanan salah.
“Bagaimanapun, maklumat terperinci mengenai laporan itu tidak boleh didedahkan kerana dalam siasatan polis,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan bapa kepada bayi lelaki dinamakan Adham memberi tempoh tiga jam kepada netizen yang melontarkan fitnah dan tuduhan di media sosial supaya menarik balik atau berdepan tindakan saman.
Peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili Safwan Roshdy dilaporkan berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa pemilik akaun media sosial yang melemparkan fitnah terhadap anak guamnya termasuk dakwaan tidak berkahwin.
Beliau berkata, tindakan saman sivil dan jenayah mungkin boleh diambil terhadap pihak hospital kerana kesalahan menyimpan jenazah bayi selama 16 hari disebabkan bapa tidak menjelaskan bil rawatan.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya perlu mendapatkan siasatan lanjut oleh pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung perkara itu.
Safwan, 22, pula dilaporkan mengakui kecewa apabila terdapat pihak yang melemparkan pelbagai tuduhan termasuk tidak berkahwin, selain turut mencaci dan mengutuknya.
Pekerja kilang itu dilaporkan berkata, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang dan menyerahkan kepada peguamnya untuk tindakan lanjut.
‘Setiap hari saya ke hospital minta nak uruskan jenazah anak, tapi tak dibenarkan’
Tarik balik tuduhan atau berdepan tindakan saman – Peguam bapa bayi ‘ditahan’ di hospital
KKM siasat dakwaan hospital swasta tahan, beku jasad bayi
Ini penjelasan HBR berhubung isu ‘simpan’ jenazah bayi
Seolah tiada perikemanusiaan, ‘tahan’ jasad bayi selagi bil hospital tidak dijelaskan
© New Straits Times Press (M) Bhd




