Wellington: Seorang bapa yang hampir empat tahun hidup dalam pelarian bersama tiga anaknya maut ditembak polis selepas insiden berbalas tembakan, hari ini.
Tom Phillips, yang melarikan diri bersama anak-anaknya pada Disember 2021 selepas pertengkaran dengan bekas pasangan, ditembak mati di wilayah Waikato, Pulau Utara.
Kes itu mendapat perhatian seluruh negara khususnya di bandar Marokopa, tempat Phillips dipercayai bersembunyi.
Tiga anaknya dipercayai berusia sembilan, 10 dan 12 tahun.
Menurut polis, pada awal pagi Ahad mereka menerima laporan cubaan samun di sebuah kedai oleh dua individu menunggang motosikal empat roda.
“Berdasarkan maklumat sebelum ini yang mengaitkan Tom Phillips di kawasan sama, anggota tambahan digerakkan ke lokasi,” kata Timbalan Pesuruhjaya Polis, Jill Rogers.
Kenderaan suspek berjaya dihentikan sebelum terbabas ke tebing.
Namun ketika polis menghampiri, Phillips melepaskan tembakan menggunakan raifal berkuasa tinggi dan mengenai kepala seorang anggota polis.
Anggota terbabit rebah lalu meminta bantuan.
Pasukan peronda kedua kemudian tiba dan menembak mati suspek di tempat kejadian.
Pegawai polis yang cedera dibawa ke hospital dan menjalani pembedahan.
Gambar di lokasi menunjukkan tubuh Phillips terbaring di jalan manakala senjatanya ditemui di dalam parit berhampiran.
Beberapa peluru turut menembusi kenderaan polis.
Rogers mengesahkan seorang anak berada bersama Phillips ketika kejadian, namun tidak cedera dan kini dalam jagaan polis.
Usaha sedang dijalankan untuk mengesan dua lagi anaknya.
“Ini adalah pengakhiran yang tiada siapa mahukan,” katanya.
Dua pegawai polis memberitahu agensi AFP bahawa mereka sejak awal bimbang kes itu akan berakhir dengan tembak-menembak.
Phillips dipercayai mendapat bantuan daripada beberapa individu yang menyembunyikannya serta menyediakan makanan dan tempat tinggal sejak 2021. Namun sejak kebelakangan ini, sokongan terhadapnya dikatakan semakin berkurangan sehingga mendorong dia melakukan jenayah lebih berani, termasuk pecah masuk kedai.
Sejak melarikan diri, dia turut berdepan pertuduhan samun bersenjata, mendatangkan kecederaan parah dan memiliki senjata api tanpa izin.
Bekas pasangannya, dikenali sebagai Ms Cat, melahirkan rasa lega apabila episod panjang itu berakhir.
“Saya amat merindui anak-anak selepas hampir empat tahun. Kami menanti kepulangan mereka,” katanya kepada stesen RNZ.
© New Straits Times Press (M) Bhd



