Bapa didakwa paksa minum arak? Anak menangis dipisahkan dari ibu Islamnya

Bapa didakwa paksa minum arak? Anak menangis dipisahkan dari ibu Islamnya

Tular sebuah video memaparkan seorang kanak-kanak perempuan menangis apabila terpaksa berpisah daripada ibunya selepas hak penjagaan perlu diserahkan kepada bapa berdasarkan keputusan mahkamah.

Kisah tersebut dikongsi seorang pengguna laman Instagram, Yuseri Yusoff memperlihatkan momen pilu antara kanak-kanak bernama Maisarah itu bersama ibunya selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Kuantan, Pahang baru-baru ini.

Menurut Yuseri, anak beranak Orang Asli itu memeluk Islam selepas wanita berkenaan bercerai dengan suaminya daripada etnik sama yang bukan beragama Islam.

Yuseri mendakwa, malangnya kanak-kanak berusia sembilan tahun itu tidak diperlakukan sebaiknya seperti dipaksa meminum alkohol jika berada di bawah jagaan bapa.

“Heart breaking.. Hari ini di Mahkamah Tinggi Kuantan.. Anak perempuan berusia 9 tahun ini merupakan anak kepada pasangan orang asli yang telah berpisah.
“Setelah berpisah, si ibu telah memeluk Islam bersama dengan anak yang dijaganya manakala si ayah bukan Islam.
“Isunya, sewaktu dengan bapa anak ini dipaksa minum arak selain ayah bersekedudukan dengan perempuan dan tidak peduli tentang anaknya sebelum ini.
“Ketika dijaga oleh ayahnya, si anak ini diserahkan ke merata tempat dan menjadi mangsa penderaan dan buli sebelum si ibu membawa lari ke Terengganu,” dakwanya.

Susulan daripada itu, Yuseri mendakwa bapa kanak-kanak terbabit memfailkan hak penjagaan anak (hadanah) dengan dibantu oleh peguam serta beberapa pihak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

“Bekas suami memfailkan permohonan mendapatkan hak penjagaan dan dibantu beberapa NGO bertindak menyediakan peguam dari firma terkemuka.

“Manakala si ibu tiada siapa bantu dan hanya berharap dengan Biro Bantuan Guaman. Tadi ya, hakim enggan mendengar permohonan dari peguam pihak ibunya dengan alasan si ibu tidak hadir sebelum ini.

“Selain terus keluar perintah habeas corpus di mana si ibu perlu serahkan anak kepada ayahnya. Ya, hakim  juga tolak permohonan lanjutan masa atau Extension of Time (EOT).

“Maka anak tadi terpaksa diserahkan kepada ayahnya di mana si anak menangis kerana tak mahu berpisah dengan emaknya. NGO di belakang bapa budak ini yang bantu sediakan peguam pro sekularisme, transgender dan ‘geng pelangi’

“Hakim terkhilaf atau buta perut kerana langsung tidak mahu dengar apa peguam sebelah ibunya nak cakap dan terus buat keputusan.

“InsyaAllah, YYCC dan beberapa peguam akan bantu si ibu untuk memfailkan rayuan untuk anak ini kembali ke pangkuan ibunya,” kata Yuseri.

Video tular berdurasi lebih satu minit itu antara lain kedengaran wanita tersebut berpesan kepada anaknya supaya menjaga diri dan aurat sambil berpelukan antara satu sama lain.

Sumber: Instagram Yuseri Yusoff