Ohio: Seorang bapa di Amerika Syarikat (AS) dijatuhi hukuman penjara lebih dua dekad selepas meninggalkan anak perempuannya berusia dua tahun di dalam kereta yang terbakar, lapor MS News.
Menurut afidavit tangkapan, lelaki itu, Nicholas Stemen, 34, memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) miliknya ketika berada dalam keadaan sangat mabuk pada 24 September 2024 di barat laut Ohio.
Anaknya, Lillyanna ketika itu berada bersamanya di dalam kenderaan berkenaan.
Polis berkata, Stemen memandu secara tidak menentu sebelum terbabas menyebabkan SUV itu terbakar.
Media AS WKRC melaporkan, seorang pengguna jalan menghubungi polis sekitar jam 9.50 malam untuk melaporkan kemalangan berkenaan.
Difahamkan, apabila timbalan sheriff tiba, Stemen ditemui berdiri di atas jalan raya sementara kenderaannya marak terbakar.
Seorang petugas kecemasan mendapati lelaki itu berbau alkohol yang kuat, tidak stabil dan rebah ke tanah.
Selepas anggota bomba memadamkan api, seorang ketua batalion bertanya kepada Stemen sama ada terdapat sesiapa lagi di dalam SUV itu.
Stemen menjawab dengan mengatakan “tiada sesiapa”.
Namun, apabila pegawai memeriksa semula kenderaan yang hangus itu, mereka menemui mayat Lillyanna masih berada pada kerusi menghadap ke hadapan.
Susulan itu, Stemen kemudian ditangkap dan mengakui dia minum 10 minuman beralkohol sebelum memandu dan tidak sedarkan diri.
Pada Oktober lalu, Stemen mengaku bersalah atas pertuduhan pembakaran terancang, pembunuhan tanpa niat dan membahayakan kanak-kanak.
Dia dijatuhi hukuman minimum 22 tahun penjara dengan maksimum 27 tahun enam bulan pada 17 November lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd



