farihad@bh.com.my
Kuala Lumpur: Bapa pelakon dan pengacara, Fahrin Ahmad, iaitu Ahmad Atil meninggal dunia kira-kira jam 7 petang tadi.
Berkongsi berita duka tu di Instagram (IG), Fahrin, 46, memberitahu dia menerima perkhabaran itu ketika menghadiri majlis di Pasir Gudang, Johor.
Sehubungan itu, Fahrin bergegas pulang ke ibu kota bagi menguruskan jenazah arwah bapanya itu.
“Dimaklumkan ayah saya. Ahmad Bin Atil meninggal dunia kira-kira jam 7 petang tadi.
“Tidak tertanggung menahan rasa terima berita beberapa minit sebelum azan maghrib pada majlis bacaan yasin dan tahlil sempena perasmian TMIYC Pasir Gudang.
“Mohon ampun dan maaf kepada penganjur dan semua pihak kerana terpaksa menarik diri pada saat akhir untuk majlis esok,” katanya.
Fahrin yang juga pengacara Wanita Hari Ini turut mengucapkan terima kasih kepada penganjur kerana memahami situasi dihadapinya.
“Mohon doa-doa yang terbaik dan segala-galanya dipermudah buat kita semua,” katanya.
Pelakon filem Pilot Cafe itu bagaimanapun tidak memperincikan punca kematian arwah bapanya.
Dua tahun lalu, Fahrin kehilangan ibu tercinta, Allahyarham Merbyah Akhwan yang menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
© New Straits Times Press (M) Bhd