Bapa hadiahkan 100 ekor musang sebagai hantaran kahwin anak

Bapa hadiahkan 100 ekor musang sebagai hantaran kahwin anak

HANOI – Seorang wanita di Vietnam menjadi tumpuan netizen serata Asia selepas menerima hantaran perkahwinan luar biasa daripada bapanya sendiri, melibatkan pelbagai bentuk harta termasuk haiwan eksotik bernilai tinggi di pasaran antarabangsa.

Wanita berusia 22 tahun itu dilaporkan menerima 100 ekor musang pandan betina sebagai sebahagian daripada hantaran, yang dianggarkan bernilai lebih 1.8 bilion dong Vietnam (RM334,000).

Musang tersebut bukan sahaja mahal, malah memainkan peranan penting dalam penghasilan kopi paling mahal di dunia, iaitu Kopi Luwak.

Menurut laporan South China Morning Post (SCMP), setiap kucing musang yang pernah melahirkan anak boleh mencecah nilai 18 juta dong (RM3,300) seekor, manakala yang sedang bunting boleh dijual sehingga 27 juta dong (RM5,000) seekor.

Jumlah ini sahaja sudah menjadikan hantaran si pengantin perempuan sebagai sesuatu yang luar biasa dalam budaya masyarakat Vietnam.

Namun, nilai hantaran itu tidak terhenti di situ. Wanita berkenaan turut menerima 25 tael jongkong emas, wang tunai sebanyak 500 juta dong (RM92,000), saham syarikat bernilai 300 juta dong (RM55,000), serta tujuh hartanah dan pelbagai aset lain daripada bapanya sebagai bekalan untuk masa depan.

Sementara itu, daripada pihak lelaki pula, pengantin perempuan menerima 10 tael emas, 200 juta dong (RM37,000) tunai dan barangan kemas berlian sebagai tanda kasih daripada keluarga suaminya.

Bapanya, Hong Chi Tam, yang merupakan seorang ahli perniagaan berjaya, menjelaskan bahawa semua anak-anaknya akan diberikan aset dan sokongan kewangan selepas menamatkan pengajian serta menyertai perniagaan keluarga.

“Saya mahu anak saya mempunyai asas kewangan yang kukuh supaya dia boleh membuat keputusan sendiri dalam hidupnya. Sama ada dia mahu terus menternak musang atau menjualnya, saya tetap akan sokong mereka,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa setiap pemberian itu bertujuan menjamin masa depan anaknya agar kekal bebas dari segi kewangan dan tidak bergantung kepada sesiapa.

Kisah hantaran luar biasa ini telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam media sosial.

Sebagai makluman, musang atau civet cat memainkan peranan penting dalam penghasilan Kopi Luwak, yang terkenal sebagai kopi termahal di dunia. Haiwan ini memakan buah kopi, kemudian mengeluarkannya semula dalam bentuk najis, yang kemudiannya diproses menjadi kopi istimewa. Harga kopi ini boleh mencecah RM470 hingga RM2,800 sekilogram.

Namun, industri ini tidak terlepas daripada kontroversi. Aktivis hak haiwan menzahirkan kebimbangan berhubung cara kucing musang ditangkap dan dikurung dalam sangkar sempit.

Kebanyakan haiwan ini ditangkap dari hutan menggunakan perangkap dan kemudiannya dikurung dalam keadaan yang menyebabkan tekanan melampau, kecederaan bahkan kematian awal.

Selain digunakan dalam industri kopi, musang juga menjadi sasaran untuk dijadikan makanan mewah dan bahan dalam perubatan tradisional di China dan Vietnam. – Agensi

Scroll to Top