Bapa ikhtiar cari dana, anak perlu pasang plat pada rahang

Bapa ikhtiar cari dana, anak perlu pasang plat pada rahang

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Jasin: Ketika insan lain bergembira pada pagi Syawal, lelaki ini pula sibuk menjaga anaknya yang dimasukkan ke hospital selepas terbabit dalam kemalangan seminggu sebelum Aidilfitri.

Meskipun begitu, Mohd Ismail A.Manam @ Manap, 47, tidak bersedih kerana apa yang lebih penting, anak keduanya, Izyan Dafina Mohd Ismail, 19, selamat walaupun patah tulang rahang dan gusi.

Berkongsi kisah itu, Mohd Ismail yang bekerja sebagai pemandu di sebuah jabatan kerajaan berkata, kemalangan berlaku pada 14 Mac lalu selepas motosikal ditunggang anaknya terbabas di Klebang, Melaka.

Ketika kejadian, anaknya berseorangan dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Tuah Perdana, Bemban, dekat sini selepas berbuka puasa.

“Waktu itu, saya dan isteri tengah menghantar kuih ditempah oleh pelanggan.

“Anak sedar namun cedera teruk pada bahagian wajah dan dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Syukur Allah SWT panjangkan nyawanya namun tahun ini, tak ada rezeki anak nak beraya dan pakai baju yang sudah dibelinya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Mohd Ismail, Izyan Dafina yang bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah premis minuman awalnya tidak boleh berjalan akibat kecederaan dialami.

Bagaimanapun, Mohd Ismail berkata, keadaan bertambah baik apabila Izyan Dafina boleh berjalan semula sejak Khamis lalu.

“Bagaimanapun, kecederaan dialami agak teruk jadi perlu rawatan yang menelan belanja kira-kira RM3,000 untuk pemasangan plat dekat tulang patah selain betulkan semula gusi depan yang hancur

“Agak berat untuk saya dan sebab itu terpaksa minta bantuan orang ramai baru-baru ini.

“Saya bukan jenis meminta tapi perlu ikhtiar demi anak. Terima kasih kepada yang sudi menyumbang dan harap anak cepat sembuh.

“Saya sudah reda dan anggap apa yang berlaku sebagai ujian buat kami sekeluarga,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Public Islamic Bank bernombor 4864524516 atas nama Mohd Ismail A.Manam @ Manap.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top