Bapa keturunan Tionghoa namakan anak Soraya, Jebat

Bapa keturunan Tionghoa namakan anak Soraya, Jebat

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Petaling Jaya: “Saya pernah beritahu anak tiada siapa dalam dunia ada nama seperti mereka. Bagi saya, nama mereka unik dan selalu ingatkan yang mereka anak Malaysia jadi kena bangga dengan nama itu,” kata pelakon, penulis dan bekas wartawan, Kee Thuan Chye, 71.

Dia berkongsi cerita mengenai kisahnya yang menamakan dua anaknya, Soraya Sunitra Kee Xiang Yin, 36, atau nama panggilannya Soraya dan Jebat Arjuna Kee Jia Liang, 34, atau Jebat.

Walaupun berketurunan Tionghoa, Kee nekad memilih nama itu buat anaknya kerana mahu menzahirkan perasaan bangga sebagai anak Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum antaranya Melayu, Cina dan India.

Bercerita lanjut, Kee berkata, idea itu tercetus selepas menulis skrip untuk sebuah drama pada 1987.

“Dalam drama itu, pemegang watak utamanya mencadangkan kepada isteri untuk menamakan anak dengan nama daripada beberapa bangsa.

“Jadi saya nak ‘walk the talk’ dan sebab itu beri nama berkenaan.

“Saya beri nama Soraya kerana maksudnya cahaya, satu nama yang baik selain ia sama dengan nama kenalan iaitu adik bekas atlet olahraga kebangsaan, Ishtiaq Mubarak dan permaisuri Iran, Puteri Soraya. Letak nama Sunitra pula sebab ia sedap didengar.

“Anak bongsu pula diberi nama Jebat Arjuna kerana suka nama Jebat dan bagi saya, ia (nama) simbol keikhlasan kepada sahabat seperti Hang Jebat, manakala Arjuna pula watak epik dalam kisah pahlawan India,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya dekat Bandar Utama, di sini.

Menurut Kee, isterinya, Lim Choy Wan, 72, pada awalnya keberatan selepas dia mencadangkan untuk memberi anak mereka nama berkenaan.

“Isteri mulanya fikir dan risau orang akan menyindir tapi lama-kelamaan, dia pun terima. Tak ada perkelahian pun antara kami kerana akhirnya, nama diberi itu ada makna yang baik.

“Waktu anak berusia lima ke enam tahun, saya terangkan kepada mereka sebab beri nama itu dan anak faham.

“Cuma biasalah, ramai orang tanya anak sama ada mereka Melayu dan Muslim tapi mereka sudah biasa (dengan pertanyaan).

“Ada kawan saya tanya kenapa (beri nama) seperti itu tetapi tak ramai yang persoalkan malah urusan pendaftaran nama dalam surat beranak pun tiada masalah.

“Anak saya pun bangga dengan nama itu sampai sekarang. Di rumah pun dan sejak mereka kecil lagi, saya dengan isteri biasakan panggil anak dengan nama Soraya dan Jebat,” katanya.

Sebagai bapa, Kee berharap Soraya dan Jebat menjadi anak serta insan yang baik.

“Baik Soraya mahupun Jebat, kedua-duanya ada disiplin yang baik dan berprinsip.

“Jadi saya nak kedua-duanya jadi orang baik, ikhlas dan mesti ada integriti kerana itu yang saya ajar sejak dulu.

“Saya ada juga tengok video tular di TikTok dan terkejut ramai beri komen positif hingga buat saya berasa apa saya buat betul (beri nama) dan bangga juga kerana orang lain boleh terima,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top