Bapa laksana ibadah korban buat arwah Vidi Aldiano

Bapa laksana ibadah korban buat arwah Vidi Aldiano

Jakarta : Bapa kepada penyanyi terkenal, Allahyarham Vidi Aldiano iaitu Harry Kiss, merancang untuk melaksanakan ibadah korban atas nama arwah anaknya sempena Aidiladha tahun ini.

Perkara itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan keluarganya dalam menjalankan aktiviti kebajikan.

“Saya cakap, ‘Saya yang bayar atas nama dia (Vidi Aldiano), boleh kan?’ Mereka jawab, ‘Boleh, atas nama Vidi sangat dialu-alukan’. Jadi, saya buat korban atas nama Vidi,” katanya dalam temubual menerusi laporan detikHOT.

Berkongsi mengenai pemilihan haiwan ternakan pula, Harry mengakui dia lebih selesa memilih kambing berbanding lembu.

Menurutnya, dia mempunyai alasan tersendiri mengapa memilih kambing secara individu, berbanding melakukan korban lembu secara berkongsi dengan orang lain.

“Kami dari dulu lagi memang korban kambing. Kami lebih suka anjurkan acara seperti pesta rakyat, buat sate bersama-sama hasil daging korban itu.

“Sebab kalau korban (cara biasa), satu bahagian kambing selalunya boleh dapat berapa sahaja? Paling banyak 30 kan? Tapi kalau kita buat konsep begini, seramai 5,000 orang boleh makan,” katanya lagi.

Sementara itu, Harry berharap agar ibadah kali ini berjalan lancar sebagai tanda dedikasi dan ingatan kasih sayang mereka sekeluarga terhadap Allahyarham Vidi.

Terdahulu, Vidi menghembuskan nafas terakhir pada 7 Mac lalu disebabkan kanser buah pinggang.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Umum Tanah Kusir, Jakarta Selatan, Indonesia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top